Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 21 Ogos 2013

Wabak denggi di Kelantan menurun

KOTA BHARU, 21 Ogos: Wabak denggi di negeri ini menunjukkan penurunan  berbanding sebelumnya, setakat dua minggu lalu sehingga sambutan Aidilfitri lepas. 

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, kes terbabit masih dalam keadaan terkawal walaupun sebelum ini menunjukkan peningkatan. “Kawasan persekitaran yang bersih dapat mengelak wabak demam denggi dari terus merebak.

“Jadi masyarakat perlu jaga kebersihan tempat tinggal dan persekitaran untuk membasmi penularan wabak ini,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis merdeka raya di perkarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semalam.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Razin turut menasihatkan orang ramai supaya menyediakan makanan dalam keadaan bersih dan teratur. “Dalam bulan Syawal ini, memang banyak rumah terbuka diadakan, dan kita harap makanan yang dihidangkan kepada tetamu disediakan dalam keadaan yang bersih dan selamat supaya tidak mengundang keracunan makanan.


“Jika masyarakat mementingkan kebersihan maka kesihatan terjamin dan dapat mengelakkan pelbagai penyakit yang tidak diingini,” katanya. Ahmad Razin berkata, setakat Ramadan sehingga Aidilfitri lalu, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai kes keracunan makanan termasuk di lokasi bazar-bazar Ramadan serta penganjuran majlis rumah terbuka.

Sumber: Sinar Harian | 21 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan