Kemeriahan Medan Ilmu di Jalan Dato' Pati di pusat bandar raya Kota Bharu pada setiap hari Jumaat. |
Lazimnya, orang ramai yang berkunjung ke kawasan itu adalah untuk mendengar kuliah mingguan yang disampaikan oleh penceramah di pejabat Pas negeri yang terletak di situ. Kehadiran begitu ramai pengunjung menjadikan Jalan Dato' Pati sesak ibarat Jalan Petaling dan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan masyarakat.
Kedatangan begitu ramai pengunjung menjadikan kawasan tersebut tumpuan kalangan peniaga kecil untuk memasarkan pelbagai barangan sama ada keperluan harian, hasil pertanian, buku, majalah dan pakaian.
Jadi, tidak hairan sekiranya Jalan Dato' Pati tiba-tiba berubah wajah pada setiap pagi Jumaat dengan pelbagai ragam peniaga dan pengunjung. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata yang ditemui sering datang ke kawasan itu setiap Jumaat untuk mendengar kuliah agama di samping membeli barangan keperluan.
Kuliah tersebut bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 11.30 pagi. Terdapat dua sesi kuliah agama yang disampaikan kepada orang ramai oleh dua penceramah berbeza. Seorang suri rumah, Wan Zizah Wan Ahmad, 57, berkata, dia sering datang ke kuliah agama itu bersama suaminya. "Memandangkan hari Jumaat merupakan hari minggu, inilah peluang saya untuk mendalami ilmu agama dengan mendengar ceramah yang disampaikan.
"Keadaan di sini sangat meriah kerana selain dapat mendengar ceramah, orang ramai juga dapat membeli barangan keperluan yang turut dijual di sini," ujarnya. Seorang lagi pengunjung, Siti Fatimah Saat, 50, berkata, hampir setiap minggu dia tidak akan melepaskan peluang untuk datang mendengar ceramah di situ.
"Sambil datang untuk mendengar ceramah, pengunjung di sini juga berpeluang membeli-belah kerana lokasi ini menjadi tumpuan peniaga menjual pelbagai jenis barangan. "Selepas mendengar ceramah, saya gemar mengunjungi gerai-gerai di sini bagi mendapatkan barangan keperluan kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 17 Ogos 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan