Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 28 Ogos 2013

711 pekebun sayur di Kelantan terima bantuan KADA

PASIR MAS, 27 Ogos: Seramai 711 penanam sayur dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerima pelbagai bantuan berjumlah sebanyak RM447,820 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Antara bantuan yang diberikan adalah baja kimia, baja cecair, baja organik serta peralatan serta mesin pertanian kecil. Pengerusi KADA yang baharu, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, pemberian insentif itu langkah baharu daripada kementerian bagi membantu meringankan beban penanam sayur di kawasan terbabit.

"Bantuan ini diberi kerana memahami kerumitan yang terpaksa dihadapi oleh mereka berikutan kos pengeluaran melibatkan penggunaan baja serta peralatan pertanian yang semakin tinggi," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian bantuan baja dan peralatan pertanian kepada penanam sayur-sayuran dalam kawasan KADA bagi 2013 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat, Tendong, di sini hari ini.

Menurut Md. Alwi, setiap penanam akan menerima jumlah bantuan yang berbeza kerana ia diberi berdasarkan keluasan tanah yang diusahakan. "Bagi pengusaha sayur seluas 0.08 hektar sehingga empat hektar, mereka akan menerima bantuan berjumlah RM400 bagi setiap kawasan bertanam dengan had maksimum sebanyak RM4,000 seorang.

"Mereka yang menerima bantuan ini terdiri daripada penanam dari Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh," katanya. Katanya lagi, antara jenis tanaman sayur-sayuran yang diberikan bantuan adalah cili, sawi, jagung, bayam, terung dan lain-lain.

Beliau berkata, bantuan yang diberikan secara sekali ini juga diharap dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penanam sayur khususnya berskala kecil. "Ini merupakan salah satu usaha kita bagi meningkatkan pengeluaran sayur tempatan serta mengurangkan kadar kebergantungan bekalan sayuran dari negara luar.

"Selain itu, program ini juga diharap menggalakkan mereka memperluaskan kawasan penanaman sayur-sayuran bagi meningkatkan pendapatan golongan terbabit," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 28 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan