Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 28 Ogos 2013

Projek Jambatan Biak merentasi Sungai Pergau di Kuala Krai bernilai RM23 juta berjalan lancar

GUA MUSANG, 27 Ogos: Projek Jambatan Biak bagi menghubungkan lebih 600 penduduk Kampung Biak dan Kampung Kandek di Kuala Krai berjalan lancar ketika ini. Projek pembinaan jambatan merentasi Sungai Pergau dengan kos sebanyak RM23 juta tersebut dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Pelaksanaan projek itu di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Pengerusi Kesedar, Datuk Ramzi Abd. Rahman berkata, pembinaan jambatan itu yang menghubungkan Kampung Biak dan Kampung Kandek di Kuala Krai, berjalan lancar melebihi 12 peratus daripada jadual asal.

"Pegawai-pegawai kita juga telah memantau bagi memastikan ia dapat disiapkan sebagaimana dengan perjanjian dengan kontraktor dilantik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Kesedar di sini kelmarin. Yang turut hadir, Pengurus Besar Kesedar, Mohd. Arshad Ismail. 

Majlis yang bermula dari pukul 9 pagi hingga pukul 4 petang itu telah dihadiri lebih 2,000 orang termasuk tetamu jemputan. Dalam perkembangan lain, Ramzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong berkata, Kesedar telah meningkatkan keupayaan pegawai dalaman dengan menghantar kursus untuk memantapkan lagi perkhidmatan mereka.

"Pegawai dalaman telah dihantar pelbagai kursus supaya mereka dapat memahami dengan lebih jelas hasrat kerajaan Persekutuan supaya memberi perkhidmatan yang terbaik. "Kita juga berhasrat untuk menjadikan Gua Musang ini satu kawasan yang maju," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 28 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan