Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 3 Ogos 2013

Usaha Tangga Kejayaan: Warisi tradisi keluarga

Mohd Bukhari berniaga kuih dan makanan untuk hari raya di Guchil.
KUALA KRAI, 3 Ogos: Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Peribahasa itu sesuai menggambarkan kehidupan seorang pemuda yang mengikut jejak langkah ibunya yang menjual biskut dan kuih raya  sejak lebih 35 tahun.

Melihat dan mengikut ibunya, Hasnah Abdullah,52, berniaga setiap kali tiba musim perayaan seolah-olah pelajaran berguna dan memberi bekalan ilmu buat Mohd Bukhari Mahmood, 27, dari Sungai Sok, dekat sini.

Lantaran itulah percubaannya berniaga kuih raya sebaik tamat belajar membuahkan kejayaan kerana perniagaan kuih muih serta kerepek setiap kali menjelang Aidilfitri sudah sebati dengan kehidupan seluruh ahli keluarganya.

Jadi katanya tidak hairanlah apabila kesemua adik beradiknya mengikut jejak ibunya berniaga kecuali seorang yang menjadi pendidik.

Mohd Bukhari berkata, pengalaman mengikut ibunya berniaga sejak kecil menyebabkan kehidupannya sudah sebati dengan perniagaan kuih muih dan biskut raya.

Kerana itulah , sebaik meninggalkan alam persekolahan, dia mengambil inisiatif berniaga dan usaha itu tidak sia-sia apabila memberikan pulangan lumayan buatnya.

Bermula dari detik itulah dengan bekalan ilmu kemahiran berniaga,  anak muda yang telah berniaga hampir 10 tahun ini memasang impian untuk terus meluaskan perniagaan kuih dan biskut raya setiap kali tibanya musim perayaan. Anak keempat daripada sembilan beradik ini berkata, dia berniaga di merata-rata tempat dengan dibantu rakan-rakannya. 

Katanya, selain biskut dan kuih raya, dia turut menjual karipap mini, popia dan pelbagai jenis kerepek yang dibelinya di Johor.  “Setiap kali musim perayaan, kerepek maruku saya mampu jual sekitar 3,000 bungkus.


“Perniagaan ini merupakan perniagaan tradisi keluarga dan saya berhasrat untuk meneruskan lagi peniagaan ini pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan