Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 22 Ogos 2013

Mesin pengimbas baharu di semua kompleks CIQ di Kelantan

 
Wan Junaidi (kanan) membuat tinjauan di jeti Pasukan Polis Marin di Pengkalan Kubor, Kelantan
TUMPAT, 22 Ogos: Alat mesin pengimbas canggih akan diletakkan di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sempadan negeri ini bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan termasuk mencegah penyeludupan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, empat alat pengimbas dianggar bernilai RM16 juta itu akan diletak di tiga laluan masuk sempadan Malaysia-Thailand, antaranya di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga.

“Alat pengimbas sedia ada tidak memadai kerana ia mengambil masa lama, memakan masa selama dua jam setiap kali kerja-kerja pemeriksaan seperti mengimbas lori dari negara jiran. “Jadi apabila mempunyai mesin pengimbas canggih, masa diambil hanya lima hingga 10 minit sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan di Pasukan Polis Marin, Pengkalan Kubor. Hadir sama, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah; Pengarah Kastam Kelantan, Datuk Azis Yacub dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, keadaan sempadan Sungai Golok sepanjang 120 kilometer dan terdapat 148 jeti haram, termasuk 48 daripadanya masih aktif mendatangkan masalah kerana menjadi laluan aktiviti penyeludupan.

Menurutnya, bagi membendung aktiviti penyeludupan semakin berleluasa ini, pihak berkuasa akan mengadakan operasi bersepadu secara berterusan yang dilakukan 14 agensi terlibat. “Kita akan lakukan operasi secara berterusan tanpa mengikut masa dan musim seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Bila operasi ini dijalankan secara berterusan mereka (penyeludup) akan berasa bosan dan serik sekiranya tiap-tiap hari ditangkap,” katanya. 

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 22 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan