![]()  | 
| Sebahagian daripada pensyarah yang hadir dalam majlis perjumpaan dengan Raduan Che Rose di Kota Bharu, baru-baru ini. | 
KOTA BHARU 20 Ogos: Dalam usaha menjadi 
universiti terkemuka bertaraf dunia, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 
mahu menghantar lebih ramai pensyarahnya melanjutkan pengajian ke 
peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di luar negara.
Bagi mencapai impian tersebut, Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. 
Raduan Che Rose berkata, pihaknya membuka peluang kepada 50 pensyarah 
muda bagi melanjutkan pengajian peringkat Ph.D dalam pelbagai bidang di 
luar negara.
Beliau berkata, kumpulan tersebut merupakan mereka yang mendapat 
kepujian kelas pertama dan akan dihantar ke beberapa buah universiti 
terkemuka dunia dan bertaraf lima bintang. "Universiti telah meletakkan pelaburan besar dengan hasrat melahirkan
 mereka yang benar-benar boleh dibanggakan bagi membawa bendera UMK 
dalam menjuarai agenda keusahawanan negara.
"Saya turut yakin dengan kemampuan tenaga pengajar menjelmakan UMK 
sebagai sebuah universiti yang istimewa dari semasa ke semasa," katanya 
berucap pada majlis perjumpaan bersama pensyarah muda terbabit di sebuah
 hotel di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) 
UMK, Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi; Pendaftar UMK, Prof. Dr. Razli Che 
Razak dan Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaannya, Prof. Mohamed 
Dahlan Ibrahim.
Dalam perkembangan lain, Raduan turut menggariskan lima strategik 
utama untuk menjadikan UMK sebuah universiti keusahawanan terkemuka 
dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Beliau berkata, strategi berkenaan ialah menjadikan UMK sebagai 
universiti keusahawanan, pilihan utama pelajar, menghasilkan 
sekurang-kurangnya 10 peratus graduan keusahawanan, pilihan kerjaya dan 
menjadi pusat rujukan masyarakat.
"Sebagai universiti yang memberi pengkhususan dalam bidang 
keusahawanan sejak ditubuhkan, saya percaya kita perlu memainkan peranan
 lebih berkesan dengan menerajui agenda pendidikan keusahawanan," 
jelasnya.
Dalam pada itu katanya, tenaga pengajar atau pensyarah UMK juga perlu
 terlibat dan mengutamakan bidang penyelidikan mengikut bidang kepakaran
 masing-masing dengan hasilnya nanti dimanfaatkan untuk perkembangan 
universiti dan masyarakat.
"Menghasilkan penyelidikan dan membentangkan hasil kajian mereka di 
dalam persidangan adalah sebahagian peranan pensyarah untuk memberi 
sumbangan kepada masyarakat. 
"Pensyarah juga perlu meningkatkan kebolehan dan kemahiran dalam 
pengajaran supaya bahan yang disampaikan dapat difahami oleh pelajar 
universiti," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan