Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
KOTA BHARU, 5 Ogos: Bandar raya Kota Bharu mulai sesak dengan kenderaan berikutan terlalu ramai anak Kelantan dari perantauan mula pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi.
Kesesakan teruk di Jalan Sultan Ibrahim di pusat bandar raya Kota Bharu yang dirakamkan pada 5 Ogos 2013 |
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan jalan utama semakin sesak, terutama di Jalan Kuala Krai, Jalan Sultanah Zainab, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Pintu Pong dan Jalan Che Su.
Selain jalan raya, turut sesak ialah pusat beli-belah di bandar raya ini berikutan pengunjung berpusu-pusu membeli pelbagai barangan keperluan hari raya.
Seorang guru, Noriha Awang, 29, berkata, pengalaman membeli-belah di Kompleks Beli-Belah KB Mall setiap tahun membuatkan beliau memilih meneruskan tradisi berbelanja di kompleks beli-belah itu itu.
"Kebiasaannya, baju raya tiga anak termasuk saya dan suami dibeli di KB Mall bukan sahaja kerana lokasinya berdekatan dengan rumah, malah mudah untuk mendapat saiz terutama buat anak saya yang berusia dua tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, pekerja swasta, Norul Huda Sulaiman, 37, berkata, keenakan pelbagai biskut raya yang dijual di KB Mall sentiasa memikat seleranya dan keluarga.
"Tidak dinafikan kesemua biskut yang dijual memenuhi cita rasa pelanggan dan setiap kali lebaran, sekurang-kurangnya 10 jenis biskut akan dibeli untuk dihidangkan kepada tetamu," katanya.
Pekerja swasta, Mohd. Fakhruddin Borhanuddin, 23, pula berkata, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
"Keluarga saya sudah membuat persiapan sepenuhnya. Pakaian, kek dan biskut memang sudah ditempah awal-awal lagi kerana tiap-tiap tahun kami sekeluarga teruja menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 6 Ogos 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan