Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 1 Ogos 2013

Merungut harga makanan mahal di Bandar Baharu Tanah Merah

Oleh Azman Che Man
Pengunjung Bandar Baharu Tanah Merah mendakwa makanan dan minuman di kawasan ini dijual agak mahal berbanding tempat lain di Tanah Merah.
TANAH MERAH, 1 Ogos: Sebahagian besar pengunjung Bandar Baharu Tanah Merah, di sini, merungut dengan harga makanan di kawasan itu kerana didakwa dijual pada harga agak mahal.

Seorang pengunjung memberitahu Sinar Harian, dia terkejut apabila sebuah restoran mengenakan harga RM2 bagi sebungkus nasi kosong yang biasanya hanya berharga RM1.

Katanya, ini bukan kali pertama kerana sebuah restoran lain di kawasan itu sebelum ini pernah mengenakan harga RM6.50 bagi nasi goreng kampung berlaukkan telur.

“Saya hairan dan kesal kerana harga makanan di kawasan Bandar Baharu Tanah Merah jauh lebih mahal berbanding kawasan tumpuan ramai lain di daerah ini.

“Pengusaha restoran patut lebih rasional dalam meletakkan harga makanan dan bukannya cuba mengaut keuntungan berlebihan hingga membebankan orang ramai,” katanya, semalam.

Pengunjung terbabit berkata, ‘tempias’ daripada tindakan pengusaha restoran dan kedai makan itu turut terkena pada bazar yang dibuka di kawasan berkenaan sempena Ramadan ini.

“Ramai datang beli juadah untuk berbuka puasa di bazar ini terkejut dengan harga makanan seperti kuih muih dan lauk pauk dijual agak mahal berbanding sebelum ini.

“Mungkin bagi yang berkemampuan, mereka tidak kisah, namun ia jadi bebanan bagi golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Menurutnya, walaupun makanan dan minuman bukan barangan harga terkawal, peniaga tidak sepatutnya meletakkan harga yang tidak munasabah sewenang-wenangnya.

“Bagi orang ramai yang berkunjung ke sini, tanya atau tengok dahulu senarai harga makanan dan minuman sebelum beli supaya mereka puas hati dengan harga perlu dibayar.

“Saya juga harap pihak berkuasa berkenaan dapat pastikan pengusaha terbabit meletakkan senarai harga kerana di sesetengah kedai, senarai harga pun tak ada,” katanya.

Sementara itu, difahamkan, makanan dan minuman di kawasan berkenaan dijual mahal sedikit berbanding tempat lain kerana kos sewa dan penyelenggaraan yang tinggi.

Peningkatan harga bahan mentah terutama di musim perayaan ini juga dikatakan punca  kenaikkan harga makanan bagi menampung kos.

Tidak pasti dengan kadar sewa restoran atau kedai makan tetapi sewa bagi sebuah rumah teres di kawasan berkenaan ditetapkan antara RM450 hingga RM500 sebulan.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan