KOTA BHARU, 12 Ogos: Lembaga Pemasaran Pertanian 
Persekutuan (FAMA) yakin kebergantungan kepada sumber bekalan 
sayur-sayuran dari Thailand akan dapat dihentikan dengan mensasarkan 
pengeluaran 100 peratus sumber bekalan tempatan menjelang 2015.
Pengarah FAMA negeri, Wan Abdullah Wan Chik berkata, dengan pelbagai 
program yang dilaksanakan, beliau yakin ia dapat membantu mengurangkan 
kemasukan barangan import khususnya dari negara jiran itu.
"Setakat ini kira-kira 34 peratus bekalan dari Thailand dibawa masuk 
ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) manakala 66 peratus lagi adalah 
daripada sumber bekalan tempatan.
"Peratusan tersebut menunjukkan bahawa kita tidak terlalu bergantung 
kepada sumber bekalan luar dan tidak mustahil untuk kita mencapai 
sasaran bagi tempoh tiga tahun lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Abdullah berkata, kini pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan 
dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Lembaga 
Pertubuhan Peladang (LPP). "Jalinan kerjasama ini dilaksanakan di mana LPP serta LKIM akan 
membantu membekalkan produk seperti ayam, ikan serta sayur-sayuran untuk
 dipasarkan oleh pihak FAMA.
"Selain itu, program kepada para pemborong juga dijalankan melalui 
Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak supaya mereka dapat mengambil bekalan 
sayuran terus daripada petani tempatan tanpa perlu mengambil bekalan 
dari Thailand," katanya.
Beliau berkata, RTC di Tunjong dekat sini merupakan tempat yang 
menyediakan bekalan keperluan harian serta sayur-sayuran segar setiap 
hari dan sehingga kini mempunyai seramai 634 orang peniaga. "Pada tahun lalu hasil jualan yang berjaya dicapai ialah sebanyak 
RM205 juta iaitu melebihi daripada jumlah yang disasarkan sebanyak RM180
 juta.
"Sehingga Jun tahun ini, hasil jualan telah berjaya mencapai sebanyak
 RM102 juta dan saya yakin ia dapat melepasi sasaran jualan tahun 
lepas," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | Terbitan 13 Ogos 2013 | 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan