![]()  | 
| Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar | 
KUALA LUMPUR, 21 Ogos: Tabung Haji buat pertama kalinya 
menyediakan perkhidmatan penerbangan terus jemaah haji dari Lapangan 
Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar ke Madinah bermula 9 September 
depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom 
berkata, Yang di-Pertuan Agong Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka 
berangkat menyempurnakan majlis pelepasan jemaah kumpulan pertama jemaah
 haji yang akan berlepas dari Alor Setar.
"Sebelum ini, penerbangan dulu (dari Alor Setar) ke Kuala Lumpur, 
buat pertukaran penerbangan sebelum terbang ke Jeddah atau Madinah."Untuk pertama kali dalam sejarah kita akan terbang pada 9 haribulan 
(dari Alor Setar) dan Agong berkenan melepaskan jemaah haji," katanya 
kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran haji dan fotografi Al 
Hajj: Pengalaman Malaysia sempena sambutan jubli emas Lembaga Tabung 
Haji di Muzium Kesenian Islam di sini Selasa.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul 
Rahim dan Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga 
Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail. Jamil Khir berkata, sebanyak tiga penerbangan akan berlepas terus 
dari Alor Setar ke Madinah pada musim haji kali ini melibatkan lebih 
1,000 jemaah haji menggunakan pesawat penerbangan Malaysia (MAS) B777.
Kedah adalah negeri ketujuh yang menyediakan perkhidmatan penerbangan
 terus jemaah haji ke Jeddah atau Madinah selepas Terengganu, Pulau 
Pinang, Johor, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur. Sementara itu, Jamil Khir berkata selain penerbangan terus, Kompleks 
Haji Alor Setar juga akan beroperasi untuk urusan operasi dan 
penerbangan haji semasa musim haji secara terus ke Jeddah dan Madinah 
tanpa perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
"Ini adalah kejayaan berganda di Alor Setar kerana selain penerbangan
 terus, bangunan hotel Tabung Haji yang terletak bersebelahan lapangan 
terbang akan beroperasi di mana jemaah haji akan berkumpul sebelum 
berlepas," katanya.
Kompleks bernilai RM86 juta itu terletak di lokasi sangat strategik 
iaitu lebih kurang satu kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan 
Abdul Halim, Kepala Batas dekat sini dan 10km dari bandar raya Alor Setar.
Kompleks yang menyediakan kemudahan hotel bertaraf empat bintang 
dengan kadar bayaran tiga bintang ini akan dapat menjana pendapatan 
untuk Tabung Haji melalui sektor pelancongan dan hospitaliti. Pameran haji dan fotografi diadakan selama tiga bulan bermula hari 
ini memaparkan kejayaan Tabung Haji dari segi pengalaman yang diperoleh 
sepanjang 50 tahun penubuhannya.
Sumber: BERNAMA | 21 Ogos 2013 | 
Fakta Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar
- Lokasi: 10km dari pusat bandar raya Alor Setar, Kedah
 - Panjang Landasan: 2,745 meter x 45 meter
 - Kapasiti Terminal: 800,000 penumpang setahun
 - Perkhidmatan Penerbangan: Kuala Lumpur (AirAsia & Penerbangan Malaysia), Subang (Firefly & Malindo Air), dan Madinah (penerbangan haji mulai 1434H/2013M)
 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan