Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 3 Ogos 2013

Pengusaha bas diarah ambil, turunkan penumpang hanya di terminal


KOTA BHARU, 2 Ogos: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Timur mengarahkan semua pengusaha bas ekspres kecuali Konsortium Transnasional Berhad (KTB) supaya mengambil dan menurunkan penumpang hanya di Terminal Bas Lembah Sireh di sini.

Ketua SPAD Wilayah Timur Nik Aminuddin Nik Shahar Shah berkata ia berkuat kuasa Isnin ini bagi semua jenis bas ekspres untuk mengelak kesesakan lalu lintas terutama pada musim perayaan.

"Arahan ini dikeluarkan bagi menjamin tahap keselamatan dan keselesaan penumpang memandangkan terminal ini mempunyai pelbagai kemudahan seperti perkhidmatan kereta sewa, ruang menunggu yang selamat dan kedai makan," katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan terhadap bas ekspres di terminal itu Jumaat.

Beliau berkata surat arahan telah dikeluarkan kepada lebih 20 pengusaha bas yang beroperasi di negeri ini. "Kami juga akan keluarkan notis untuk ditampal pada kaunter-kaunter di sekitar Terminal Bas Lembah Sireh dan Kota Bharu," katanya.

Selain terminal bas di Lembah Sireh itu, KTB mempunyai terminalnya sendiri di bandar ini dan Kubang Kerian. Nik Aminuddin turut berkata sempena Aidilfitri, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menyediakan terminal bas sementara bagi semua bas ekspres tambahan yang terletak berhampiran Terminal Lembah Sireh. "Perkhidmatan di terminal sementara itu bermula 5 Ogos hingga 2 Sept," katanya.

Nik Aminuddin berkata pemeriksaan hari ini mendapati semua bas ekspres terlibat mempunyai permit yang lengkap. "Semuanya lengkap cuma terdapat beberapa perkara yang boleh menjejaskan perjalanan. Kami sudah keluarkan kompaun, " katanya.

Sumber: BERNAMA | 2 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan