Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 29 Julai 2015

Asyraf Wajdi pakar kewangan Islam

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (gambar), seorang pakar kewangan Islam, adalah antara muka baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Anggota Dewan Negara berusia 39 tahun itu berkelulusan PhD dalam Perbankan Islam dan Kewangan dari Universiti Loughborough, United Kingdom dan pernah dinobatkan sebagai 'The Most Upcoming Personality in Islamic Finance' semasa Forum Ekonomi Islam Oman pada 2011.

Asyraf Wajdi banyak membantu membangunkan dasar Syariah dan kewangan Islam untuk Bank Negara Malaysia serta memberi khidmat nasihat berhubung bidang itu di Oman, Turki, Maldives, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Korea Selatan dan Afrika Selatan.

Anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu juga telah menerbitkan pelbagai jurnal akademik berujukan tempatan dan antarabangsa.

Salah satu artikel beliau yang bertajuk 'Banking for the Poor: The Role of Islamic Banking in Microfinance Initiatives' telah menerima 'The 2009 Outstanding Paper Award' daripada Emerald Literati Network, an International Referred Journal Article Publisher.

Ketika dihubungi Bernama, Asyraf Wajdi menyifatkan kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepadanya sebagai orang muda, bukan mudah digalas melainkan mendapat sokongan dan dokongan daripada semua pihak.

"Ia bukan mudah terutamanya dalam menghadapi cabaran pelbagai persepsi yang tercetus dalam kalangan masyarakat terhadap kerajaan hari ini.

"Sudah tentu saya perlu menzahirkan semangat untuk bekerja secara amanah, tulus dan berintegriti tinggi supaya kita dapat menarik kembali sokongan dan dokongan rakyat kepada kerajaan," katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) berkata, hasratnya adalah untuk memastikan masyarakat Islam secara umum memahami aspek halal haram bukan hanya dalam konteks makanan tetapi dalam hal ehwal pengurusan kewangan.

"Hari ini bila kita cakap melalui pematuhan syariah hanya berlingkar dalam konteks kewangan dan perbankan yang telah pun ada peraturan dan undang-undangnya tetapi dalam konteks lain seperti skim cepat kaya, pemasaran 'multi-level' dan sebagainya...saya kira tidak ada lagi satu urus tadbir syariah yang melihat secara holistik," katanya

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu optimis perkara itu dapat dilaksanakan secara kerjasama dengan Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab khusus terhadap industri kewangan dan perbankan Islam negara.
 
Sumber: Bernama | 28 Julai 2015

Isnin, 27 Julai 2015

Rakyat Kelantan perlukan LPT3

Kesesakan teruk sejauh tujuh kilometer di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh, Kuala Nerus, Terengganu pada musim perayaan baru-baru ini. Foto ihsan: Berita Harian Online
KUALA LUMPUR: Kesesakan teruk di Plaza Tol Kuala Terengganu baru-baru ini disebabkan ramai rakyat Kelantan memilih untuk menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) untuk pulang berhari raya di Kelantan. 

Kesesakan teruk berlaku sejauh tujuh kilometer untuk keluar Plaza Tol Kuala Terengganu beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan kesesakan teruk juga berlaku untuk memasuki LPT melalui plaza tol berkenaan beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Keadaan ini dapat dielakkan sekiranya LPT dibina sampai ke Pengkalan Kubor, Kelantan untuk kemudahan penduduk negeri Kelantan dan Terengganu Utara. 

Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang masih belum dihubungkan dengan lebuh raya ekspres dengan ibu kota Kuala Lumpur. 

Projek LPT dibahagikan kepada tiga fasa dan hanya fasa terakhir, iaitu Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dari Kuala Terengganu, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan sejauh 147 kilometer yang masih belum dilaksanakan. 

Projek LPT3 dianggarkan melibatkan kos RM2.4 bilion, iaitu RM1.4 bilion diperlukan untuk menyiapkannya bagi jajaran yang berada di dalam negeri Terengganu, manakala RM1 bilion lagi diperlukan untuk menyiapkan jajaran yang berada di dalam negeri Kelantan. 

Apabila siap kelak, ketiga-ketiga ibu negeri di Pantai Timur dihubungkan dengan lebuh raya ekspres. Ia juga dapat meningkatkan aktiviti perdagangan melibatkan tiga pelabuhan utama di Pantai Timur, iaitu Pelabuhan Kuantan (Pahang), Pelabuhan Kemaman (Terengganu), dan Pelabuhan Tok Bali (Kelantan). 

Selain itu, ia juga dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan ketiga-tiga negeri di Pantai Timur dengan akses lebuh raya yang lebih cekap dengan negeri-negeri di sebelah Pantai Barat terutamanya Kuala Lumpur Raya (Greater Kuala Lumpur). 

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan diminta supaya dapat meluluskan projek LPT3 ini untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang akan bermula pada tahun 2016.

Sumber: Gerbang KBBRI | www.kbbri.blogspot.com

Nota: Artikel daripada laman blog ini tidak dibenarkan sama sekali diterbitkan semula melalui kaedah salin dan tampal (copy & paste) di mana-mana laman sosial lain termasuk laman Skyscraperscity.com, Facebook, blog, dan sebagainya. Hormatilah hasil kerja orang lain dan hentikan budaya salin dan tampal tanpa kebenaran. 

JABATAN PEMBANGUNAN PERSEKUTUAN KELANTAN (JPPK) | LEBUH RAYA PANTAI TIMUR FASA 3 (LPT3) | KEMENTERIAN KERJA RAYA | LEMBAGA LEBUHRAYA MALAYSIA (LLM) | WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR (ECER) | RANCANGAN MALAYSIA KESEBELAS (RMK11) 

Kesesakan 7 kilometer di Plaza Tol Kuala Terengganu LPT2

Keadaan kereta mula sesak di Plaza Tol Kuala Terengganu, Kampung Gemuruh, Kuala Nerus ketika orang ramai mula pulang beraya ke kampung masing-masing. Foto: Aswadi Alias
KUALA TERENGGANU: Suasana Aidilfitri semakin terasa dengan perantau berpusu-pusu pulang walaupun terpaksa terima hakikat sebelum dapat bertemu mereka di kampung, ramai yang mungkin mengeluh kerana perlu bersesak di lebuh raya terlebih dulu. 

Bagi warga bandar raya ini umpamanya, mereka terpaksa bersesak teruk di setiap susur keluar malah kesesakan mencecah hingga tujuh kilometer di Plaza Tol Kuala Terengganu, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa II (LPT2). 

Tinjauan wartawan BH di LPT2 mendapati aliran trafik bergerak perlahan dan berlaku kesesakan hampir di setiap susur keluar di sepanjang lebuh raya ini apabila orang ramai berpusu-pula pulang ke kampung halaman sejak awal pagi tadi. 

Di Plaza Tol Kuala Terengganu, kesesakan teruk terjadi dipercayai kerana hanya empat lorong bayaran tol disediakan. 

Selain itu, kenderaan yang rosak di bahu jalan menjejaskan lagi aliran lalu lintas di lebuh raya itu. 

Sumber: Berita Harian Online | 15 Julai 2015

Ahad, 26 Julai 2015

Lebih 15 tahun Sazali Samad tidak makan juadah raya

SAZALI SAMAD (tengah) bersama pemain skuad bola sepak remaja negara dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bukit Jalil, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Lemang, ketupat, rendang, serunding antara juadah wajib pada pagi Hari Raya Aidilfitri, namun jaguh bina badan negara, Sazali Samad mengakui sudah lebih 15 tahun dia tidak merasai kenikmatan makanan tersebut demi menjaga rutin pemakanannya.

Katanya, setiap kali ingin menyertai kejohanan bina badan dia perlu mengamalkan disiplin diet pemakanan yang ketat supaya dapat menjaga kualiti otot serta mendapat bentuk yang diinginkan.

“Antara pengorbanan terbesar saya sepanjang bergelar atlet adalah saya sudah lebih 15 tahun tidak menikmati juadah Hari Raya Aidilfitri seperti orang lain dan saya mampu mengambil bau sahaja.

“Tiada apa yang perlu dirugikan sebab sekiranya inginkan kejayaan sudah pasti perlukan pengorbanan dan sebab itu saya perlu menjaga diet pemakanan saya dengan rapi.

“Lazimnya adik saya akan membuat rendang istimewa untuk saya apabila dia akan menggantikan santan kepada susu rendah lemak, manakala lagi dua minggu sebelum kejohanan saya perlu minum air suling sahaja.

“Dari dulu lagi saya tidak pernah menjamah kuih raya dan rendang yang sedap-sedap kerana saya hanya menjamu ketupat kosong dan nasi impit sahaja tapi hasilnya amat bagus,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini baru-baru ini.

Sazali yang menggemari kuih tradisional batang buruk itu sedang memburu gelaran Mr. Asia buat kali ke-10 pada Kejohanan Bina Badan Asia di Tashkent, Uzbekistan pada 27 September hingga 3 Oktober.

“Pada kejohanan itu nanti saya akan menyertai kategori 75 kilogram sebab sekiranya saya mahu mengambil bahagian dalam 70kg saya perlu pergi ke sauna selama empat jam.

“Sehingga kini saya tidak mengalami sebarang kecederaan tapi saya perlu menjalani rawatan pada bahagian otot namun ia tidak menjejaskan rutin latihan saya,” ujarnya lagi.

Sumber: Utusan Malaysia | Sukan | 19 Julai 2015

Kawalan di sepanjang Sungai Golok: ATM nafi penduduk rimas

Azmy melihat anggotanya yang turut menderma darah.
TUMPAT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan penduduk rimas dengan kehadiran anggotanya yang mengawal ketat sempadan, sebaliknya hubungan akrab terjalin antara penduduk di sempadan Sungai Golok.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Azmy Yahya berkata, selain tugas operasi, hubungan baik dengan masyarakat juga mustahak dan ia dapat dilihat apabila penganjuran program derma darah melibatkan penduduk di sempadan mendapat sambutan.

“Kita adakan program derma darah melibatkan penduduk kampung dan Pasukan Batalion ke-5 Rejimen Sempadan Kem Bukit Kayu Hitam untuk erat hubungan dengan masyarakat.

“Melalui cara ini, secara tidak langsung kita boleh mendekati penduduk tempatan dan dapat maklumat penting untuk ATM laksanakan tugas,” katanya pada Program Derma Darah dan Jamuan Hari Raya di Pos Kula Jambu, di sini, semalam. Hadir sama, Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Dalam pada itu, Azmy berkata, masyarakat di sempadan juga perlu faham tugas tentera di kawasan berkenaan yang mempunyai tanggungjawab besar menjaga sempadan tersebut.

Menurutnya, masyarakat di sempadan juga perlu menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa mengekang penyeludupan di sempadan.

Dalam perkembangan lain katanya, dua askar yang cedera ditembak di paha telah dibenarkan keluar hospital dan kini direhatkan untuk pemulihan di rumah.

Katanya, susulan insiden tembak itu, ATM terus mempergiatkan aktiviti mengawal sempadan, selain mengawasi kebolosan sempadan daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin dan barangan seludup.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Julai 2015

Peniaga cekik darah: Pengguna perlu bijak pilih gerai di Pantai Irama

Susulan sikap peniaga di Pantai Irama yang didakwa 'cekik darah', pengguna dinasihatkan hati-hati ketika membeli.
BACHOK: Susulan pendedahan Sinar Harian mengenai peniaga makanan di Pantai Irama yang didakwa ‘cekik darah’ terutama pada cuti umum dan hujung minggu, Ahli Majlis Daerah Bachok, Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin turun padang meninjau situasi itu, Jumaat lalu.

Beliau berkata, hasil tinjauan dilakukan, didapati harga jualan makanan di Pantai Irama masih berada pada tahap berpatutan, namun tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir peniaga yang mengambil peluang ‘cekik darah’ sempena musim perayaan, baru-baru ini.

“Namun, ia bukanlah indikator yang tepat untuk menggambarkan seperti diuar-uarkan. Cadangan saya agar pembeli lebih berhati-hati semasa membeli, misalnya bertanya terlebih dahulu harga makanan sebelum buat pesanan bagi mengelakkan peniaga ambil kesempatan semasa mengira harga makanan.

“Saya harap perkara ini tidak berpanjangan supaya tidak menjejaskan nama Pantai Irama sebagai Bandar Pelancongan Islam,” katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, hasil tinjauan juga mendapati harga makanan dikenakan masih seperti biasa iaitu lima keping keropok (RM1), secucuk bebola ikan (RM2), seekor ikan celup tepung (RM5), tiga ekor udang (RM13), seekor sotong celup tepung (RM6 hingga RM12) bergantung kepada saiz.

Sementara itu, perkongsian dalam laman sosial Facebook Perantau Bachok mengenai laporan Sinar Harian itu mendapat maklum balas daripada ratusan pelanggan sebelum ini yang pernah berdepan situasi sama.

Mereka menggesa pihak berkuasa memantau perkara itu bagi mengelakkan nama Pantai Irama tercemar kerana sikap peniaga yang tidak amanah dan tidak menjaga kualiti makanan dijual.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Julai 2015

Sabtu, 25 Julai 2015

BMW Group Malaysia perkenal pengedar baharu BMW di Kelantan

Harris (kiri) bersama Pengarah Urusan & Pengedar Prinsipal Raza Premium Auto, Datuk Seri Abdul Razak.
KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia memperkenalkan pengedar baharu BMW, Raza Premium Auto di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur di Semenanjung Malaysia yang bakal menyediakan perkhidmatan 4S – Jualan, Servis, Alat Ganti, dan Sistem.

“Selaku peneraju serta pengeluar kenderaan premium di peringkat global dan Malaysia, kami bukan sekadar menjual kereta. 

"Malah, kami turut komited untuk memperkenalkan teknologi-teknologi baharu dan relevan. Rasa tanggungjawab ke atas para pelanggan juga menjadi keutamaan kami. Nilai-nilai ini menjadi satu kriteria penting untuk kekal premium," jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Alan Harris.

Menurut Harris lagi, pengedaran 4S BMW sememangnya menjadi faktor penting dalam menawarkan pengalaman premium, sebagaimana yang dijanjikan oleh jenama BMW. 

Dengan keluasan 7,800 kaki persegi, Raza Premium Auto mampu menawarkan semua perkhidmatan BMW 4S kepada para pelanggannya di negeri Kelantan. 

Kemudahan baharu itu menampilkan perabot dan standard BMW Group. 

Ia juga menyediakan ruang jualan serta pameran yang boleh menempatkan sehingga tiga buah kenderaan, dua hingga tiga unit kenderaan untuk pandu uji, empat ruang penyelenggaraan, ruang istirehat bagi kegunaan pelanggan, Isetta Bar, bilik-bilik mesyuarat dan perbincangan. 

Raza Premium Auto BMW 4S terletak di Lot 493 & 183, Jalan Kuala Krai, Seksyen 20, 15050 Kota Bharu, Kelantan. 

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi BMW Voice di talian 1 800 88 3000, Raza Premium Auto di nombor: +609-744 5333 atau layari laman web: www.bmw.com.my.

Sumber: mStar Online | 23 Julai 2015

Kemudahan dan kepakaran Hospital Pasir Mas perlu dinaik taraf

Ahmad Fadhli (depan, dua kanan) bersama ahli jawatankuasa Pemuda Pas menziarahi keluarga Allahyarham Noorhaslinda Nordin di Kampung Sungai Tendong
PASIR MAS: Pemuda Pas Kawasan Pasir Mas menggesa kerajaan pusat mempertimbangkan cadangan untuk menaik taraf Hospital Pasir Mas di Kampung Lati, sesuai dengan pertambahan penduduk di daerah ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bagi menampung keperluan yang meningkat dan mengelakkan kes kelewatan mendapatkan rawatan dalam kalangan pesakit berikutan kekurangan pakar serta peralatan.

“Pemuda Pas banyak menerima aduan masyarakat setempat yang kurang berpuas hati apabila pesakit terpaksa dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) di Kota Bharu ataupun Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Rujukan lanjut ke hospital lain ini dibuat atas alasan Hospital Pasir Mas tidak mempunyai peralatan yang mencukupi bagi merawat pesakit kritikal dan serius," katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham Noorhaslinda Nordin di Kampung Sungai Tendong, Pasir Mas.

Allahyarham Noorhaslinda meninggal dunia pada Ahad lalu ketika umat Islam masih menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kampung Kasa, Pasir Mas, dua hari sebelum menjelang Syawal.

Kunjungan Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan bersama rombongan Pemuda Pas Pasir Mas disambut oleh suami Allahyarham Noorhaslinda, Azman Abdullah.

Ahmad Fadhli berkata, Hospital Pasir Mas atau dikenali sebagai Hospital Lati telah mula beroperasi sejak 1985 iaitu 30 tahun lalu.

“Hospital ini memberikan perkhidmatan primer dan sekunder kepada lebih kira-kira 200,000 penduduk di dua kawasan parlimen iaitu Pasir Mas dan Rantau Panjang.

"Itu belum termasuk penduduk warga asing yang turut mendapatkan rawatan di hospital ini kerana kedudukannya berhampiran sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Justeru katanya, Hospital Pasir Mas wajar dinaik taraf, seiring dengan pertambahan penduduk di kawasan berkenaan.

"Antara pesakit yang terpaksa dipindahkan ke HPRZII akibat kekurangan pakar dan peralatan di Hospital Pasir Mas ialah Allahyarham Noorhaslinda.

"Kami kesal dengan keadaan ini. Kerajaan pusat diharap jangan hanya beri tumpuan negeri tertentu sahaja dan mengetepikan Kelantan dari aspek pembangunan kesihatan dalam Rancangan Malaysia ke-11," katanya.

Menurutnya, Kelantan khususnya Pasir Mas sepatutnya turut diberikan tumpuan, dan salah satu daripadanya ialah menaik taraf hospital yang ada demi kebaikan rakyat.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Julai 2015

13 ditahan, 11 motosikal disita

Suzaimi (tiga, kanan) bersama pegawainya menunjukkan motosikal yang dirampas dan disita dalam operasi pencegahan jenayah IPD Tanah Merah
TANAH MERAH: Sebanyak 11 motosikal termasuk dua motosikal curi disita dan 13 individu ditahan dalam beberapa operasi pencegahan jenayah yang dibuat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah sekitar daerah ini.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, tindakan tersebut diambil menerusi Ops Kesan, Ops Lejang Khas dan Ops Cantas yang dilaksanakan pihaknya dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, selain dua daripadanya motosikal curi, tindakan sita diambil selepas motosikal tersebut didapati diubah suai dan terdapat kesan gangguan pada casis enjin.

“Kes dua motosikal curi itu disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan, manakala sembilan kes lagi motosikal yang disita, disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Julai 2015

Sabar tunggu rumah kekal

Husin dan Azman yang lumpuh reda menyambut Aidilfitri tahun ini di dalam khemah.
GUA MUSANG: Seramai 14 keluarga melibatkan seramai 34 mangsa banjir, termasuk dua beranak yang lumpuh di Kampung Aring 2, di sini, reda menyambut Aidilfitri di dalam khemah disebabkan rumah kekal dibina kerajaan untuk mereka belum siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, mereka tidak berhasrat mendesak kerajaan untuk mempercepatkan pembinaan rumah kekal itu kerana memahami masalah dihadapi, khususnya melibatkan tanah yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri.

Salimah Abdullah, 65, berkata, dia sekeluarga tidak terlalu memikirkan mengenai rumah kekal itu dan bersedia dengan apa jua keadaan termasuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam khemah yang tidak sempurna.

Bahkan, kata Salimah, suami, Husin Ali, 60 dan anak lelakinya, Azman Husin, 38, yang lumpuh, tetap ceria tinggal di dalam khemah walaupun menghadapi sedikit kesukaran untuk bergerak, termasuk ke tandas dan bilik air.

“Makcik yang menguruskan mereka, namun makcik reda dengan ketentuan ALLAH SWT dan tetap bersabar menunggu rumah kekal dibina kerajaan siap sepenuhnya.

“Makcik sekeluarga masih belum dapat melupakan kejadian banjir besar akhir Disember lalu hingga menghanyutkan rumah, tetapi dalam masa sama, tetap bersyukur suami dan anak dapat diselamatkan,” katanya, kelmarin.

Sementara itu, Husin berkata, dia tidak mahu menekan kerajaan untuk mempercepatkan pembinaan penempatan baharu dan sedar penempatan selama ini di kawasan tanah rizab Felda, hanya diberi kebenaran sementara.

Malah katanya, mereka sekeluarga tetap menyambut Aidilfitri seperti biasa kerana khemah itu sudah dianggap seperti rumah sendiri walaupun serba kekurangan.

“Kami, mangsa banjir, tetap mengamalkan budaya kunjung mengunjungi dan menjamu kuih raya sekadar yang termampu,” katanya.

Sementara itu, Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dalam lawatannya ke Kampung Aring 2, meminta supaya mangsa banjir terlibat terus bersabar di atas kelewatan kerajaan membina rumah kekal untuk mereka.

Menurutnya, masalah itu berlaku disebabkan kerajaan negeri gagal menyediakan tapak untuk membina rumah, tetapi Felda sudah meluluskan kawasan seluas 1.2 hektar untuk membina rumah kekal milik 14 keluarga terlibat.

“Kita sedang proses kelulusan tanah itu dengan Felda dan kerajaan negeri supaya dapat bina rumah kekal dalam masa terdekat, tetapi saya mengingatkan mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan luar.

“Saya kesal dengan tindakan pemimpin pembangkang yang hasut mangsa banjir supaya membenci kerajaan pusat berikutan kegagalan membina rumah kekal untuk mereka.

“Kenyataan menyebut 200 mangsa banjir hidup terpinggir di kampung ini, tidak benar kerana kita telah senaraikan nama mereka dan hanya terdapat 34 mangsa banjir daripada 14 keluarga,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Julai 2015

Sampah meningkat setiap kali Ramadan, Aidilfitri

Gambar hiasan. 
KOTA BHARU: Peningkatan jumlah sampah setiap kali Ramadan dan Aidilfitri bukan lagi perkara luar biasa di negeri ini, malah saban tahun hampir dua kali ganda sisa pepejal dihasilkan setiap hari.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB- BRI), Rosnazli Amin berkata, sekitar 360 tan metrik sampah diangkut sehari pada hari biasa berbanding 500 hingga 700 tan metrik sehari bermula awal hingga pertengahan Ramadan lalu.

“Peningkatan terus berlaku pada penghujung Ramadan sehingga hari raya kelima dengan purata 800 tan metrik sehari (termasuk 550 tan metrik diangkut Alam Flora Sdn Bhd), berbanding sekitar 360 tan metrik sehari pada hari biasa.

“Ia (peningkatan) dikatakan berpunca daripada pertambahan jumlah aktiviti perniagaan seperti bazar Ramadan dan penjaja perseorangan,” katanya, mengulas situasi semasa pengurusan sisa pepejal sepanjang musim perayaan di negeri ini.

Rosnazli berkata, peningkatan jumlah sisa pepejal juga dikatakan berpunca daripada kerja pembersihan rumah dilakukan orang ramai menjelang musim perayaan, selain aktiviti rumah terbuka yang menjadi amalan kebanyakan masyarakat di negeri ini.

Mengulas lanjut, Rosnazli berkata, kerja pembersihan sisa pepejal musim perayaan ini masih dijalankan MPKB- BRI dan dijangka berakhir Ahad ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd Zain Hassan berkata, dalam tempoh 10 hari, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengutip 550 tan metrik sisa domestik dan sisa pukal serta kebun ketika menjalankan kerja kutipan dan pembersihan di Kota Bharu.

Menurutnya, kerja kutipan dan pembersihan dilakukan di jalan utama dan protokol seperti Jalan Tok Guru, Jalan Sultan Yahya, Jalan Pasir Puteh dan Jalan Long Yunus, bermula 12 hingga 21 Julai lalu. 

Mohd Zain berkata, daripada jumlah keseluruhan sampah dipungut, hampir 70 peratus adalah sisa makanan, manakala selebihnya sisa pukal dan sisa kebun.

“Perbuatan membeli pelbagai jenis juadah berbuka puasa melebihi kebiasaan, selain peningkatan tapak jualan sementara terutama sepanjang sambutan Aidilfitri termasuk rumah terbuka dikatakan antara penyumbang peningkatan jumlah sampah di negeri ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 24 Julai 2015

Khamis, 23 Julai 2015

Projek LPT3 dari Kuala Terengganu ke Pengkalan Kubor bakal diteruskan

PROJEK Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang bermula dari Gemuroh, Kuala Terengganu ke Pengkalan Kubor, Tumpat bakal diteruskan melihat pada kesesakan yang berlaku baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata dengan kesesakan yang berlaku di persimpangan keluar Gemuroh, LPT3 merupakan jalan penyelesaian pada masalah tersebut.

“Kesesakan yang berlaku mungkin disebabkan oleh rakyat Kelantan turut menggunakan LPT 2 untuk pulang ke kampung halaman dan mereka tidak lagi menggunakan lagi Lebuh Raya Gua Musang kerana ia dapat memendekkan perjalanan.

Kita sudah mempunyai rekabentuk bagi pembinaan LPT3 dan dijangkakan kos bagi lebuh raya tersebut dalam 1.4 bilion jika dibina hingga ke Besut mankala 2.4 bilion untuk sampai ke Tumpat, Kelantan,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Jemputan Tawaran Haji Bagi Program Khas Haji YAB Perdana Menteri 2015 di TH Hotel & Convention Centre, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 67 jemaah terdiri daripada imam serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima surat tawaran tersebut.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria, Penasihat Yayasan 1 Ummah, Dato’ Jailani Ngah dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail.

Tambahnya, jika perkara tersebut tidak diatasi, kesesakan akan sering terjadi terutamanya pada musim perayaan.

“Buat masa sekarang, kerajaan negeri bersetuju jika peruntukan oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM 1.8 bilion yang dibelanjakan dalam pembinaan LPT2 digunakan dahulu sementara bagi projek pembinaan LPT3.

“Walaupun demikian, masih terdapat syarat-syarat yang masih dibincangkan dengan kerajaan persekutuan untuk pembinaan LPT3 bagi membolehkan kerajaan negeri turut menerima manfaat,” katanya.

Lebuh Raya Pantai Timur dibuat secara berfasa yang mana fasa terakhir dan belum dimulakan lagi ialah LPT3 (Kelantan) sepanjang 147 kilometer bermula dari Gemuroh ke Tumpat, Kelantan. 

Sumberhttp://teganukita.my | 20 Julai 2015

Terengganu wants Federal Government to proceed with LPT3 project

KUALA NERUS: The Terengganu state government hoped the Federal Government agrees to proceed with the East Coast Expressway 3 (LPT3) from Gemuruh to Jertih, which is expected to cost RM1.4 billion.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman said the construction of the LPT3 was seen as a main prority at present given that the number of LPT2 commuters, including from Kelantan had increased.

"If the federal government agrees, the state government is prepared to borrow RM1.8 billion that is required from the LPT2 project cost (still under discussion) for the LPT3 project," he told reporters after the 1Malaysia haj programme handing over ceremony here today.

He said pending the approval of Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak, the state government also claimed concession payment of 40 per cent from Plus Malaysia Berhad for toll collection at LPT2.

He said LPT2 could generate good economic spins-off not only to the state government but also for locals to trade at every rest and recreation stops along the stretch of LPT2 at present.

Source: Bernama | 20 July 2015

Baik pulih infrastruktur rosak akibat banjir di Kelantan dijangka siap pada September

KM 90 Jalan Kota Bharu - Gua Musang yang rosak teruk akibat banjir Disember tahun lepas - Gambar Fail Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM380 juta bagi membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir yang berlaku di Kelantan pada Disember tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata peruntukan berkenaan disalurkan kepada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan untuk membiayai kerja-kerja membaik pulih infrastruktur tersebut.

"Sebahagian besar kerja membaik pulih kerosakan tersebut telah siap manakala bakinya akan disiapkan sebelum atau pada September depan," katanya kepada Bernama di sini.

Makhtar berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) diperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi membaik pulih jalan dan cerun di 124 lokasi yang rosak akibat banjir dan kesemuanya sudah siap dibaiki.

Antara jalan terbabit ialah Jalan Gua Musang-Lojing-Simpang Pulai, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, Jalan Lama Pasir Mas-Rantau Panjang dan laluan Lebuh Raya Timur - Barat Jeli - Gerik.

Makhtar berkata Jabatan Kesihatan pula diperuntukkan sebanyak RM75 juta untuk membaik pulih infrastruktur yang rosak antaranya penggantian perubatan sebanyak RM26 juta, penggantian kenderaan (RM16 juta), pembaikan kerosakan yang melibatkan hospital (RM10 juta), penggantian peralatan bukan perubatan seperti perabot (RM8 juta), ubat-ubatan (RM5.7 juta) dan pembaikan segera kerosakan 16 klinik desa (RM2 juta).

Jabatan Pendidikan Kelantan diperuntukkan sebanyak RM53.4 juta bagi membaik pulih kerosakan melibatkan 241 sekolah rendah dan menengah akibat banjir iaitu kerosakan fizikal sebanyak RM32 juta, perabot (RM11.7 juta) dan buku teks (RM9.7 juta), katanya.

Beliau berkata kerosakan infrastruktur yang melibatkan jabatan dan agensi lain juga dijangka siap sepenuhnya pada September ini.

Katanya Unit Pemantauan dan Penilaian JPP ditugaskan untuk memastikan kerja membaik pulih itu disiapkan mengikut jadual.

Makhtar berkata kerajaan persekutuan amat prihatin dengan nasib rakyat yang ditimpa musibah banjir luar biasa itu dan memastikan mereka mendapat perkhidmatan terbaik yang disediakan kerajaan.

Sumber: Bernama | 23 Julai 2015

Rabu, 22 Julai 2015

Kolej Astonians jamin peluang pekerjaan selepas tamat belajar

KOTA BHARU: Kolej Astonians yang menawarkan kursus kemahiran dalam bidang automotif, jahitan dan mekanikal, memberi jaminan kepada pelajar akan mendapat pekerjaan selepas tamat belajar.

Pengurusnya Rita Sarbani Ismail berkata pihaknya telah mengadakan perjanjian dengan beberapa agensi seperti Malaysian Automotif Institute, beberapa kilang dan butik sebagai peluang pekerjaan kepada lepasan pelajar kolej itu.

"Kita bukan setakat sediakan pelajaran, kita juga sediakan peluang pekerjaan yang berkaitan dengan bidang yang mereka pelajari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen kolej itu di sini, hari ini.

Rita Sarbani berkata sebanyak 80 peratus daripada pelajar kolej itu setiap tahun akan mendapat pekerjaan selepas tamat kursus peringkat sijil dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata pihaknya turut merancang untuk menambah bidang kemahiran iaitu dalam bidang minyak dan gas dalam masa terdekat ini.

"Memandangkan sambutan yang kita terima amat menggalakkan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jadi kita rancang untuk tambah bidang kursus yang baharu tetapi kita masih mengekalkan kualiti pelajar iaitu dengan menghadkan pengambilan pelajar bagi setiap sesi," katanya yang mempunyai 200 pelajar bagi setiap pengambilan.

Katanya, kolej tersebut turut mendapatkan status antarabangsa dan bakal membuka peluang kepada pelajar luar negara untuk menyertai kolej berkenaan dalam bidang yang ditawarkan.

Sementara itu, seorang graduan Asmira Abdullah @ Omar, 22, percaya minatnya dalam bidang kemahiran memberi masa depan yang cerah kepadanya.

"Selepas tamat SPM saya terus memilih untuk menceburi bidang mekanikal dan tanpa diduga selepas sebulan tamat belajar dalam bidang ini saya mendapat pekerjaan dan kini hampir tujuh bulan bekerja," katanya.

Sumber: Bernama | 22 Julai 2015

BMW Malaysia buka wakil jualan di Kelantan pada hujung tahun ini

KOTA BHARU: BMW Group Malaysia menyasar jualan lebih tinggi dengan pembukaan wakil jualan di Kelantan dan Johor pada tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Alan Harris berkata BMW Malaysia menjual 7,500 kenderaan pada tahun lepas.

"Pada akhir Jun tahun ini, kami telah menjual 3,900 kenderaan, termasuk BMW, MINI dan Motorrad," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pengedar baru, Raza Premium Auto, di sini Rabu.

Beliau berkata dua lagi wakil jualan akan dibuka di negara ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Pada masa ini kami mempunyai 28 pengedar BMW di negara ini dan yang terbesar di Lembah Klang," katanya.

Harris berkata wakil jualan di Kelantan juga menyediakan perkhidmatan 4S (jualan, penyelenggaraan, sistem dan alat ganti) kepada pelanggan di kawasan tersebut dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Sumber: Bernama | 22 Julai 2015

Selasa, 14 Julai 2015

Perkhidmatan kereta api Aliran Pantai Timur telah mula beroperasi secara berperingkat-peringkat

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kereta api Aliran Pantai Timur (East Coast Line) telah mula beroperasi secara berperingkat-peringkat pada awal minggu ini oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). 

Perkhidmatan kereta api ulang-alik dari Kuala Krai ke Kemubu dan sebaliknya telah  memulakan operasi sejak 12 Julai 2015 dengan kekerapan tiga kali sehari. Tren dari Kuala Krai ke Kemubu dijadualkan berlepas pada jam 05:00, 10:30, dan 17:00, manakala tren dari Kemubu ke Kuala Krai dijadualkan berlepas pada jam 08:00, 14:30, dan 20:00. Perjalanan dari Kuala Krai ke Kemubu dan sebaliknya mengambil masa kira-kira dua jam lima belas minit. 

Sementara itu, perkhidmatan tren Ekspres Timuran dari Johor Bahru ke Gua Musang telah memulakan operasi pada 13 Julai 2015 dengan kekerapan sekali sehari. 

Perkhidmatan Tren No. 2626 dari Johor Bahru ke Gua Musang dijadualkan berlepas dari Stesen Kereta Api JB Sentral pada jam 20:15 dan dijadualkan tiba di Stesen Kereta Api Gua Musang pada jam 09:10 pada hari berikutnya, manakala Tren No. 2727 dari Gua Musang ke Johor Bahru dijadualkan berlepas pada jam 22:30 dan dijadualkan tiba di Johor Bahru pada jam 11:30 pada keesokan harinya. 

Penumpang yang perlu membuat perjalanan ke destinasi seterusnya seperti Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu, dan Tumpat akan dibawa dengan perkhidmatan bas yang telah disediakan oleh KTMB dari Stesen Kereta Api Gua Musang. 

Manakala penumpang yang ingin melakukan perjalanan ke Johor Bahru atau stesen-stesen di Aliran Selatan (Southern Line) boleh menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan bermula dari Stesen Kereta Api Tumpat dan seterusnya ke stesen-stesen kereta api Wakaf Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, dan Kuala Krai untuk dibawa ke Stesen Kereta Api Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan dengan kereta api. 

Kadar tambang masih sama seperti sebelum perkhidmatan kereta api ditamatkan buat sementara waktu sejak hujung tahun lepas disebabkan kerosakan landasan akibat banjir besar melanda Pantai Timur. 

Bagi penumpang yang ingin ke Singapura pula, mereka boleh mengambil perkhidmatan kereta api ulang-alik Tebrau (Tebrau Shuttle) yang disediakan KTMB dari Stesen Kereta Api JB Sentral ke Stesen Kereta Api Woodlands, Singapura dan sebaliknya. Perjalanan hanya mengambil masa kira-kira lima minit sahaja. 

Tiket-tiket boleh didapati di semua stesen kereta api utama dari Johor Bahru sehingga ke Tumpat dan pembelian tiket secara dalam talian boleh dibuat melalui laman sesawang www.ktmb.com.my.

Sumber: Gerbang KBBRI | www.kbbri.blogspot.com | 14 Julai 2015

Perkhidmatan kereta api Johor Bahru - Gua Musang sudah beroperasi

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengoperasikan semula perkhidmatan kereta api Aliran Pantai Timur (East Coast Line) dengan perkhidmatan kereta api mel dari Kemubu ke Kuala Krai yang telah bermula pada 12 Julai 2015 dan perkhidmatan kereta api ekspres dari Johor Bahru ke Gua Musang dan sebaliknya yang telah bermula sehari kemudian.

Perkhidmatan Tren No. 2626 dari Johor Bahru ke Gua Musang dijadualkan berlepas dari Stesen Kereta Api JB Sentral pada jam 20:15 dan dijadualkan tiba di Stesen Kereta Api Gua Musang pada  jam 09:10 pada hari berikutnya, manakala Tren No. 2727 dari Gua Musang ke Johor Bahru dijadualkan berlepas pada jam 22:30 dan dijadualkan tiba di Johor Bahru pada jam 11:30 pada keesokan harinya. 

Kadar tambang masih sama seperti sebelum perkhidmatan kereta api ditamatkan buat sementara waktu sejak hujung tahun lepas disebabkan kerosakan landasan akibat banjir besar melanda Pantai Timur. 

Bagi penumpang yang ingin ke Singapura pula, mereka boleh mengambil perkhidmatan kereta api ulang-alik Tebrau (Tebrau Shuttle) yang disediakan KTMB dari Stesen Kereta Api JB Sentral ke Stesen Kereta Api Woodlands, Singapura dan sebaliknya. Perjalanan hanya mengambil masa kira-kira lima minit sahaja.

Tiket-tiket boleh didapati di semua stesen kereta api utama dari Johor Bahru sehingga ke Gua Musang dan pembelian tiket secara dalam talian boleh dibuat melalui laman sesawang www.ktmb.com.my

Sumber: Gerbang KBBRI | www.kbbri.blogspot.com

Perkhidmatan kereta api Aliran Pantai Timur sudah beroperasi sejak 12 Julai 2015


KOTA BHARU: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan perkhidmatan tren khas bagi perjalanan ke Pantai Timur bermula esok (12 Julai) dan lusa (13 Julai).

Menurut kenyataan KTMB, tren tersebut merupakan sebahagian daripada fasa pertama pemulihan kereta api di negeri ini dan melibatkan laluan Kemubu - Kuala Krai serta laluan Gemas - Gua Musang.

Laluan tren ke sektor Pantai Timur bagi laluan Kemubu - Kuala Krai akan bermula pada Ahad, 12 Julai manakala laluan Gemas - Gua Musang pula pada Isnin, 13 Julai.

Harga tiket bagi perjalanan Kemubu - Kuala Krai serta Gemas - Gua Musang ini adalah pada harga lama,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak KTMB memohon maaf di atas kelewatan pengoperasian fasa pertama yang sepatutnya bermula semalam.

Sementara itu, Presiden KTMB, Sarbini Tijan berkata, kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta KTMB sendiri prihatin dengan keperluan rakyat Kelantan yang amat memerlukan perkhidmatan tersebut.

“Kami bersyukur kerana pengoperasian semula fasa pertama ini dapat memberi nafas kelegaan kepada rakyat Kelantan untuk membolehkan mereka pulang menyambut hari raya bersama keluarga masing-masing.

“Ini merupakan komitmen berterusan KTMB dan fasa kedua pula dijangka beroperasi sepenuhnya akhir tahun ini,” kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Wilayah | 11 Julai 2015 | Terbitan 12 Julai 2015

Lebih 3 juta dijangka guna LPT semasa Aidilfitri


Azmil Khalid ( dua dari kiri ) memberi replika kad Touch n Go kepada Aziz Abdullah ( dua dari kanan ) selepas memberi sidang akhbar mengenai panduan penguna yang mengunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di sepanjang musin perayaan ini di Batu Caves di sini hari ini.
KUALA LUMPUR: Syarikat konsesi, Anih Berhad menjangkakan lebih tiga juta kenderaan akan menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sempena sambutan Aidilfitri minggu ini.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Azmil Khalid berkata, jumlah kenderaan yang bakal menggunakan lebuh raya itu dianggar meningkat 30 peratus berbanding tahun lepas sepanjang tempoh ‘Op Selamat’ yang telah bermula Jumaat lalu.

Sehubungan itu, beliau menya­rankan pengguna lebuh raya untuk mengikuti cadangan waktu perjalanan yang telah disediakan bagi mengelakkan kesesakan.

“Jangkaan jumlah trafik yang akan menggunakan LPT meningkat seba­nyak 51 peratus di laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak (KLK) dan 72 peratus di LPT 1 berbanding hari biasa yang mana corak peningkatan ketara akan dilihat pada 15, 16, 19 dan 20 Julai.

“Oleh itu, kita amat berharap pengguna tidak menggunakan le­buh raya di waktu puncak serta memastikan minyak dan bekalan makanan mencukupi kerana hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang penuh akan ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai persediaan Aidilfitri serta pelancaran edisi khas kad Touch ‘n Go LPT di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Sr. Aziz Abdullah dan Pengarah Pengawasan Tol LLM, Idrus Mat Tais.

Sebanyak 1,500 tenaga kerja akan bertugas sepanjang musim perayaan ini termasuk pasukan Jabatan Sukare­lawan Malaysia (Rela) bagi membantu melancarkan operasi kutipan tol dan mengawal keadaan trafik di LPT.

Dalam pada itu, Azmil berkata, pihaknya akan memberikan diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada pemegang kad Touch ‘n Go dan Smart Tag pada Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 17 Julai ini.

Menurut Azmil, diskaun untuk semua jenis kenderaan di Plaza Tol Gombak dan Bentong itu diberikan sebagai rangka promosi sebelum pelaksanaan sistem kutipan tol elek­tronik pada 9 September nanti.

Katanya, pihaknya telah me­ngambil keputusan untuk mempercepatkan pelaksanaan sistem tersebut yang sepatutnya dijadualkan awal tahun hadapan kerana percaya langkah itu mampu menyuraikan kesesakan trafik berpunca daripada mod pembayaran tunai.

“Kami yakin pelaksanaan kutipan secara elektronik mampu meningkatkan kecekapan operasi pengurusan tol terutamanya pada waktu puncak.

“Kita akan memberikan 50,000 kad Touch ‘n Go percuma bermula 1 Ogos dan rebat sebanyak lima peratus kepada pengguna kelas 1 untuk tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan kutipan elektronik yang akan menelan belanja RM3 juta,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 13 Julai 2015 | Terbitan 14 Julai 2015