KOTA BHARU: Abdullah Junaidi Hillaluddin berjaya menamatkan ekspedisi 'Kayuhan Solo Anok Kelate Semenanjung Malaysia' hari ini selepas 22 hari mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 1,500 kilometer.
Bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu itu tiba di rumahnya di Pengkalan Chepa di sini pada 3 petang dan disambut bapanya Hillaluddin Hashim, 65, dan ibunya Bibi Nuriah Saripullah, 58.
Abdullah Junaidi, 23, yang memiliki diploma dalam bidang kejuruteraan elektrik memulakan ekspedisi itu bagi menguji ketahanan fizikal dan mentalnya di samping mencari pengalaman baharu yang mencabar.
Anak muda itu memulakan kayuhan di Kota Bharu pada 8 Feb lepas sebelum ke Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan kembali ke Kelantan.
"Sepanjang ekspedisi, saya banyak tidur dalam khemah yang dibawa, saya sengaja berkhemah berdekatan masjid atau surau untuk memudahkan saya beribadah dan bangun awal pagi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata antara pengalaman paling diingatinya ialah nyaris terbabit dalam kemalangan dengan lori di Meru, Selangor serta tayar basikal pecah selepas terjatuh ke dalam sebuah lubang ketika melalui jalan di Kulim, Kedah.
"Di sepanjang perjalanan, ramai yang memberikan sokongan apabila mengetahui yang saya melakukan ekspedisi solo termasuk membunyikan hon kereta tanda sokongan malah ada yang memberikan galakan dengan bertepuk tangan," katanya.
Abdullah Junaidi berkata semasa di UiTM, dia aktif dalam pelbagai sukan cabaran eko.
"Pada mulanya rancangan untuk kayuhan solo ini tidak dipersetujui oleh ibu saya yang bimbang dengan keselamatan diri saya tetapi selepas memujuknya selama tiga bulan akhir ibu akur.
"Memang saya berhasrat mencapai sesuatu untuk diri sendiri ketika masih muda. Apatah lagi apa yang saya lakukan ini bakal menjadi motivasi kepada diri saya sendiri serta orang lain," katanya.
Sumber: Bernama | 1 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan