Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 7 November 2013

Bekas editor Pengasuh tokoh Maal Hijrah Kelantan

Sultan Muhammad V (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Hijratul Rasul 1435H kepada Mohamad Mahmud pada Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat negeri Kelantan 1435H di Dewan Besar, Balai Islam Lundang, Kota Bharu, malam semalam.
KOTA BHARU: Bekas editor majalah Pengasuh terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang merupakan majalah tulisan jawi tertua di negara ini dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Hijratul Rasul 1435H peringkat negeri Kelantan tahun ini.

Pesara, Mohamad Mahmud, 66, yang lebih dikenali dengan nama penanya Abdul Razak Mahmud dan Ahmad Fathy al-Fatani adalah seorang penyelidik bidang agama, sejarah dan budaya dengan ratusan tulisan beliau telah diterbitkan dalam majalah jurnal tempatan dan serantau sejak lebih 30 tahun lalu.

Mohamad yang berasal dari Morak, Tumpat juga telah menghasilkan sembilan buah buku yang dikeluarkan penerbit di Kota Bharu dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur manakala dua karya besarnya iaitu 'Pengantar Sejarah Pattani' telah diterjemahkan ke bahasa Thai oleh Prince of Songkhla University (PSU), Thailand manakala 'Ulama Besar Dari Pattani' pula sedang diterjemah ke bahasa Arab oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

"Saya fikir anugerah ini adalah satu pengiktirafan yang wajar untuk golongan penulis dan penyelidik yang menghasilkan karya ilmiah dan serius,'' katanya selepas menerima hadiah berupa Dinar Emas Kelantan bernilai RM5,500 dan sijil penghargaan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat negeri Kelantan 1435H di Balai Islam Lundang di sini malam tadi.

Beliau juga berharap penyelidik tempatan terutama pensyarah universiti dapat menghasilkan karya-karya hebat yang berat seperti yang dilakukan oleh penulis di Indonesia.
 
Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh Saudara Kita 1435H, Mohd. Rizal Paul Abdullah, 49, pula berkata, beliau tidak menyangka diberi penghormatan tersebut dan berpendapat 'anugerah' sebenar yang paling dinanti ialah pengislaman seluruh ahli keluarganya terutama ibu bapanya yang masih beragama Kristian Katolik.

Mohd. Rizal yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang memeluk Islam pada 1989 ketika bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Ladang Kerilla, Tanah Merah setelah mengkaji kebenaran yang terdapat dalam agama suci ini terutamanya dalam bab berkaitan kematian serta balasan dosa dan pahala.

Anak sulung daripada lima beradik itu kini mengajar subjek Sains di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri, Wakaf Bharu dan telah berkahwin dengan seorang wanita Melayu yang juga seorang guru, Wan Faidzah Wan Hamzah, 47, dan dikurniakan tiga orang anak.

"Sebenarnya isteri saya adalah teman rapat saya semasa kami menuntut di Maktab Perguruan Kinta, Ipoh, Perak bermula tahun 1987 lagi, namun ketika itu saya tidak mahu tergesa-gesa masuk Islam disebabkan perasaan cinta tetapi mahu berpaksikan keyakinan mendalam. 

"Apabila saya datang ke Kelantan dan dikelilingi rakan-rakan yang sering memberi motivasi dan input yang saya cari maka barulah hati saya nekad untuk 'kembali' kepada Islam,'' ujarnya.

Katanya, hubungan beliau dan keluarga tetap baik dan mereka saling ziarah menziarahi tetapi hanya seorang adiknya yang mengikut jejak beliau menganut Islam.
 
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 5 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan