Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 13 Mei 2015

Bakau benteng hakisan pantai


KOTA BHARU: Peristiwa tsunami sehari selepas perayaan Krismas pada tahun 2004 adalah satu detik daripada lipatan sejarah dunia moden yang akan dikenang selamanya.

Tsunami yang membadai kesan dari gempa bumi di tengah Lautan Hindi telah meragut 230,000 nyawa dari 14 buah negara termasuk Indonesia dan bumi bertuah yang kita diami ini.

Sejarah tanggal 26 Disember itu menyaksikan bukan sahaja kawasan pesisir pantai yang terjejas bahkan amukan air laut telah membelah sehingga beberapa kilometer ke daratan menyebabkan ada kapal besar mampu ‘berlabuh’ di perumahan penduduk.

Antara pengajaran besar daripada peristiwa tersebut, selain telah menzahirkan sifat belas ihsan seluruh masyarakat dunia yang dilapor menderma sehingga AS$14 bilion (RM49.7 bilion), adalah perlunya kita kembali kepada ‘alam’ untuk melindungi dan merawat sebarang luka planet hijau-biru ini.

Dunia melihat bagaimana kawasan pesisir yang mempunyai ‘lubuk nyamuk’ atau hutan bakau telah berjaya melindungi harta benda dan penduduk sekitar daripada menjadi sebahagian statistik malang hari itu.

Misalnya kawasan Ranong di selatan Thailand yang terletak di pesisir Laut Andaman dilaporkan hampir-hampir tidak terjejas ke­rana dibentengi hutan paya bakau yang luas.

Malah di Sri Lanka, negara yang mencatat kematian lebih 35,000 penduduk dan setengah juta orang kehilangan tempat tinggal, me­nyaksikan penduduk perkampu­ngan Kapuhenwala dan Wanduruppa yang berkubukan hutan bakau seluas 200 hektar terselamat dengan hanya dua nyawa terkorban iaitu bilangan terendah berbanding kampung lain di negara itu.

Hutan bakau yang terletak antara laut dan darat mempunyai akar yang kuat, menyerap air dalam jumlah besar dan mengelak banjir sekali gus mampu melindungi kawasan pesisir daripada terjahan angin kuat, ribut dan tsunami.

Justeru, tidak hairanlah mengambil iktibar daripada tsunami, kerajaan Malaysia ketika itu di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada mesyuarat jemaah menteri pada 26 Januari 2005 telah menyarankan supaya usaha pemuliharaan dan perlindungan kawasan hutan di pesisiran pantai negara dilaksanakan.

Biarpun projek penanaman pokok di pesisiran pantai negara kita telah bermula sejak dekad 1980-an lagi, namun langkah secara intensif mula dilaksanakan sejak 2005 oleh agensi-agensi kerajaan khususnya Jabatan Perhutanan.

Sehingga hujung tahun lalu, sebanyak 2,520.9 hektar dari 4,000 hektar kawasan pesisiran pantai yang dikenal pasti di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak telah berjaya ditanam dengan 6.25 juta batang pokok bakau dan spesies-spesies pokok lain yang sesuai.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Perancangan dan Pelaksanaan (JTPP) Operasi Menanam Pokok Bakau dan Spesies Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Abd. Rahman Abd. Rahim berkata, tujuan utama adalah untuk mewujudkan benteng pemecah ombak semula jadi di samping mengurangkan hakisan dan mendapan sekali gus dapat mengelak banjir serta menahan arus gelombang yang kuat.

Abd. Rahman yang juga Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia berkata, selain menjadi pelindung fizikal semula jadi kepada pesisiran pantai, hutan bakau membentuk satu ekosistem unik dan keadaan ini juga wujud di muara-muara sungai yang menjadi habitat kepada pelbagai flora dan fauna serta hidupan marin.

“Sasaran kita adalah semua 4,000 hektar kawasan pesisir pantai yang dikenal pasti selesai dita­nam dengan pokok yang sesuai pada tahun 2020.

“Kawasan pesisiran pantai ini melibatkan Hutan Simpanan Kekal dan tanah kerajaan untuk program penanaman di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), RMK-10 dan RMK-11.

“Setakat ini sebanyak RM45 juta telah dibelanjakan iaitu lebih RM41 juta dari peruntukan Kerajaan Persekutuan manakala selebihnya daripada kerajaan-kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita pada Program Penanaman Pokok Bersama JTPP di Pantai Kundor di sini baru-baru ini.

Pada program itu, sebanyak 1,250 batang pokok ru pantai, tembusu, bitangor laut dan kelat jambu laut telah ditanam di kawasan seluas dua hektar.

Yang turut hadir, Timbalan Ke­tua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan), Datuk Nor ­Akhiruddin Mahmud dan Pengarah Perhutanan negeri, Zahari Ibrahim.

Sementara itu, Abd. Rahman memberitahu, antara isu yang dihadapi adalah pencerobohan pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan penanaman yang boleh mengancam pokok yang sudah ditanam selain masalah sosial.

Jelasnya, kawasan yang sudah ditanam dengan pokok contohnya pokok ru di Pantai Kundor sejak 2008 telah mewujudkan landskap indah dan menjadi tarikan ramai selain manfaatnya sebagai benteng ribut.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak dapat menguatkuasakan undang-undang di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan kerana melibatkan tanah kerajaan negeri malah ada antaranya di bawah pemilikan persendirian.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 29 April 2015 | Terbitan 30 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan