KUALA LUMPUR: Pembinaan jambatan tambahan antara Malaysia dan Thailand dijangka bermula tahun depan, kata Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.
“Kami telah memuktamadkan kajian kemudahan itu, dan berhasrat untuk melanjutkan usaha (ini). Oleh itu, kita boleh memulakannya tahun depan,” katanya.
Keputusan untuk meneruskan projek itu dibuat pada mesyuarat persediaan pegawai-pegawai kanan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) di sini, semalam dan ia akan dikemukakan kepada pemimpin-pemimpin negara masing-masing untuk diperakukan pada Sidang Kemuncak Pemimpin IMT-GT Selasa ini.
Bagaimanapun, projek berkenaan bukan sahaja membabitkan batu-bata dan mortar, katanya sambil menjelaskan ia melibatkan kesediaan kedua-dua negara dalam pelbagai aspek lain.
“Ia bukan sahaja daripada segi (pembinaan) jambatan itu, ia juga melibatkan kastam, imigresen dan pihak berkuasa lain,” kata Nik Azman sambil menekankan bahawa kedua-dua negara juga perlu bersedia sepenuhnya sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.
Pada masa ini, dua jambatan sudah pun menghubungkan selatan Thailand dengan Kelantan.
Jambatan pertama yang menghubungkan Rantau Panjang ke Bandar Sungai Golok siap pada 1972, dan jambatan kedua yang menghubungkan Bukit Bunga ke Buketa siap pada akhir 2007.
Pada 2001, pemimpin kedua-dua negara bersetuju untuk menambah dua buah jambatan lagi yang menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Narathiwat di Thailand serta Pengkalan Kubor, Kelantan dengan Takbai, Narathiwat bagi melancarkan aliran lalu lintas.
“Bagi projek Pengkalan Kubor - Tak Bai, kami menjangkakan ia dapat menjana aktiviti ekonomi yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat persediaan itu.
Projek itu akan dilaksanakan dengan pembiayaan sama banyak oleh Bangkok dan Putrajaya.
Selain projek itu, Nik Azman berkata Sidang Kemuncak Pemimpin IMT-GT turut membincangkan kemajuan pembangunan Bandar Getah di Kedah.
Beliau berkata terdapat beberapa isu berbangkit mengenai tapak projek itu yang perlu diselesaikan antara Malaysia dan Thailand, namun, beliau tidak menjelaskan butirannya.
IMT-GT, yang ditubuhkan pada 1993, menyediakan rangka kerja subserantau bagi mempercepat kerjasama ekonomi dan integrasi negara-negara anggota dan wilayah di ketiga-tiga negara berkenaan.
Ia juga menggalakkan sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi dan memudahkan pembangunan subserantau secara keseluruhannya dengan mengeksploitasi asas yang saling melengkapi dan kelebihan perbandingan dalam kalangan negara anggota.
Sumber: Bernama | 27 April 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan