Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 13 Mei 2015

Semakin ramai remaja ambil pil kuda: Harganya murah, mudah diperoleh punca salah guna berleluasa



Ibrahim Abd. Ghani (kiri) memberi nasihat kepada sebahagian penagih dadah yang ditahan dalam Op Nyambar di sekitar Pasir Mas, Kelantan, semalam.
PASIR MAS: Ancaman pil kuda terutama terhadap remaja di negeri ini semakin membimbangkan apabila dadah jenis methamphetamine amat mudah diperoleh de­ngan harga serendah RM10 sebiji.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Ibrahim Abd. Ghani berkata, maklumat itu diperoleh pihaknya selepas menyoal penagih yang ditangkap ketika operasi diadakan.

Menurutnya, kebanyakan pena­gih memberitahu mereka tidak berdepan dengan masalah untuk mendapatkan bahan itu bagi mele­paskan gian.

“Bukan itu sahaja, harganya cukup murah menyebabkan ramai yang terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Op Nyambar di pejabat AADK daerah Pasir Mas, di sini hari ini.

Sebelum ini, harga sebiji pil ialah RM35 bagaimanapun bahan terlarang dikatakan turun secara mendadak disebabkan semakin mudah diperoleh dan wujud persaingan antara pengedar dadah.

Kebanyakan pil kuda dibawa ma­suk dari Thailand. Mengulas mengenai Op Nyam­bar, Ibrahim memberitahu, 73 pe­nagih dadah termasuk enam remaja berjaya ditahan dalam operasi yang bermula semalam dan berakhir kira-kira pukul 6.30 pagi ini.

Katanya, berdasarkan ujian sa­ringan air kencing, kesemua suspek berusia antara 17 tahun hingga 43 tahun itu positif dadah.

“Majoriti 90 peratus daripadanya terlibat dengan penagihan dadah jenis methamphetamine atau pil kuda manakala selebihnya terlibat dengan dadah jenis heroin, morfin dan ganja.

“Kesemua yang ditahan kini disiasat mengikut Akta Rawatan Pemulihan Dadah 1983,” ujarnya.

Tambahnya, operasi selama 24 jam itu melibatkan 120 anggota yang dibahagikan kepada empat zon me­libatkan 11 lokasi yang dikenal pasti antaranya Kedondong, Limbat, Aur Cina dan Gelang Gajah.

“Op Nyambar di Pasir Mas merupakan yang pertama untuk tahun ini dan akan diperluaskan ke seluruh negeri,” katanya.

“Pelaksanaan Op Nyambar ini bertujuan membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang didapati semakin berleluasa di negeri ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 26 April 2015 | Terbitan 27 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan