Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 20 Mei 2015

Tesco serah rumah kepada mangsa banjir di Tumpat

Majlis penyerahan rumah di bawah projek 'Shelter' oleh Pasar Raya Besar Tesco. 
TUMPAT: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd menyerahkan sebuah rumah kepada satu keluarga mangsa banjir di Kampung Belian di sini, hari ini.

Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Korporat Tesco, Datuk Azlam Shah Alias berkata rumah berkenaan adalah komitmen Tesco Malaysia untuk membina lapan buah rumah untuk mangsa yang kehilangan kediaman akibat banjir besar yang berlaku Disember tahun lepas di jajahan Tumpat.

"Kami amat bersyukur kerana telah berjaya menyiapkan rumah tersebut dalam masa enam minggu seperti yang dirancang dengan kerjasama semua pihak.

Harap penerima dan anggota keluarga dapat menjalani kehidupan lebih selesa dan boleh menyambut bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri di rumah baharu yang lebih selesa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Projek Shelter Tesco Malaysia di Kampung Belian di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang berusaha untuk menyegerakan pembinaan empat lagi rumah agar keluarga yang dipilih dapat memasuki rumah baharu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Sementara itu tiga buah rumah lagi iaitu sebuah di Kok Keli dan dua buah rumah di Kampung Laut di sini, dijangka siap dalam bulan Syawal (Julai)," katanya.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia Datuk Georg Fischer.

Azlam berkata sebanyak RM500,000 disumbangkan bagi membina lapan rumah kekal itu kepada penduduk di jajahan Tumpat.

Rumah yang dibina menggunakan bahan mesra alam itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, ruang dapur dan dua bilik air juga dilengkapi perabot asas dan barangan elektrik yang ditaja beberapa pembekal Tesco.

Pada majlis sama Fischer turut memberi sumbangan wang tunai berjumlah RM20,000 untuk penambahbaikan masjid Kampung Belian.

Sementara itu penerima bantuan rumah berkenaan, Robiah Awang Sulaiman, 49, berkata beliau amat bersyukur kerana kini boleh menetap di rumah baharu yang lebih selesa.

"Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang menyediakan sebuah rumah yang cukup selesa ini kerana dengan keadaan suami yang mengidap strok sejak tiga tahun lepas tidak mungkin dapat menyediakan rumah. Ia adalah anugerah paling bermakna buat kami terutama untuk menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Puasa nanti," katanya yang mempunyai 13 orang anak.

Sumber: Bernama | 20 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan