KOTA BHARU: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan penyenaraian tiga projek pembangunan mega di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sebagai bukti komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memajukan Kelantan.
Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda), Mohamad Zaidan Abdul Rahim berkata, seharusnya rakyat negeri ini berterima kasih dan bersyukur atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan itu bagi memastikan Kelantan tidak lagi ketinggalan dalam arus kemajuan.
“Saya tidak melihat pengumuman itu sebagai pembangunan fizikal semata-mata tetapi lebih ke arah perubahan minda untuk rakyat di negeri ini supaya tidak terus ketinggalan.
“Jangan melihat pengumuman berkenaan sebagai 'gula-gula' untuk meredakan kemarahan rakyat khususnya di Kelantan sebaliknya terima rancangan tersebut sebagai usaha memajukan ekonomi yang mana semua pihak bakal menikmati manfaatnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan RMK-11 mengumumkan projek pembangunan di Kelantan yang membabitkan pembinaan lebuh raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), dan tebatan banjir.
Sementara itu, Pengerusi Institusi Modenisasi Pemikiran Anak Kelantan (IMPAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, pihaknya berharap Kerajaan Pas Kelantan dapat menyahut komitmen Kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama demi memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat di negeri itu.
“Projek-projek pembangunan di negeri ini yang diumumkan dalam RMK11 sememangnya telah lama dinanti-nantikan rakyat. Terutama pembinaan lebuh raya bagi kemudahan rakyat Kelantan yang berada di sini atau di luar untuk berulang-alik terutama pada musim perayaan.
“Begitu juga dengan projek tebatan banjir yang dilihat dapat mengurangkan impak tahunan rakyat di negeri ini yang perlu menghadapi bencana itu setiap tahun,” katanya.
Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kesungguhan membantu rakyat di negeri ini walaupun perlu melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Pas Kelantan.
Tambahnya, Kelantan sememangnya memerlukan suntikan dana daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri ini terutama selepas bencana banjir pada penghujung tahun lalu.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 21 Mei 2015 | Terbitan 22 Mei 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan