Sebahagian alatan shisha yang berjaya dirampas dalam operasi shisha dan karaoke bersama MPKB-BRI dan polis, semalam. |
KOTA BHARU: Tindakan peniaga sebuah restoran di Jalan Bayam di sini yang cuba menyembunyikan alatan shisa di sebalik pokok pisang akhirnya berjaya dibongkar apabila pihak penguat kuasa mengesan terdapat asap yang berkepul-kepul naik ke udara dipercayai datang dari alatan itu yang dihidangkan kepada pelanggan sebelum premis terbabit diserbu.
Walaupun berpura-pura dan mahu mengaburi mata pihak berkuasa kononnya premis berkenaan tidak menghidangkan shisha atau tembakau berperisa itu kepada pelanggan, namun perbuatan licik peniaga itu dapat dikenal pasti dan beliau turut dikenakan tindakan kompaun dalam operasi shisha dan karaoke di sini malam kelmarin.
Dalam Ops bersepadu Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bersama Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di tiga kedai yang masih lagi menghidangkan shisha kepada pelanggan diserbu termasuk satu di Jalan Kebun Sultan, dan dua di Jalan Bayam.
Serbuan diketuai oleh Ketua Inspektor MPKB-BRI dengan dibantu enam anggota dam pegawai narkotik IPD terhadap premis berkenaan yang dipercayai pernah diserbu namun tidak serik dan masih menjalankan perniagaan terbabit untuk menarik pelanggan dan meraih keuntungan.
Turut diserbu sebuah lagi restoran di Jalan Long Yunus yang baru sahaja hendak menamatkan operasinya namun dikenakan kompaun selepas pihak penguatkuasa mendapati peniaga berkenaan menyediakan shisha kepada pelanggannya.
Setiausaha MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, operasi berkenaan dilakukan bagi mengenal pasti dan memberi amaran kepada pihak yang masih lagi berdegil memandangkan perniagaan shisha tidak pernah diwartakan di negeri ini.
“Kita memandang serius masalah ini memandangkan ada di antara peniaga telah pun dikompaun beberapa kali namun masih tidak serik.
“Jika mereka masih ingkar tindakan tanpa kompromi akan dikenakan sama ada kita akan merampas alatan dalam kedai termasuk meja peniaga serta tidak membenarkan mereka beroperasi lagi ekoran tindakan mereka yang masih degil dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan di negeri ini,” katanya.
Rosnazli berkata, kesemua barangan dan alatan yang dirampas akan dibawa ke stor MPKB-BRI untuk tindakan susulan.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 Mei 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan