Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 6 Mei 2015

Pembinaan 450 rumah kekal mangsa banjir berjalan lancar

KOTA BHARU: Pembinaan 450 buah rumah kekal kepada mangsa banjir di negeri ini yang memiliki tanah sendiri, kini berjalan lancar, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Beliau berkata sebanyak 150 daripada jumlah rumah berkenaan dijangka siap sebelum menjelang Aidilfitri, Julai ini.

"Pembinaan 450 buah rumah kekal ini adalah fasa pertama iaitu kumpulan (mangsa) yang tidak mempunyai masalah dari segi pemilikan tanah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Bicara Gender di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini, Rabu.

Banjir luar biasa yang melanda Kelantan pada Disember tahun lepas telah menyebabkan kemusnahan besar termasuk kira-kira 1,800 rumah musnah sepenuhnya.

Makhtar berkata 450 buah rumah itu adalah daripada kira-kira 1,800 rumah kekal yang akan dibina untuk mangsa banjir iaitu 1,200 rumah oleh kerajaan persekutuan manakala bakinya oleh kerajaan Kelantan.

Beliau berkata rumah sementara akan dibina untuk mangsa yang tidak memiliki tanah kerana sebelum bencana banjir itu mereka mendiami tanah rezab kerajaan atau tanah milik orang lain.

Katanya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sedang bekerjasama untuk menyelesaikan masalah tanah untuk dijadikan tapak pembinaan rumah kekal kepada mangsa yang tidak mempunyai tanah.

Sementara itu, Makhtar berkata pihaknya dalam proses mendapatkan peruntukan sebanyak RM40 juta daripada kerajaan persekutuan bagi membina semula jambatan kekal yang merentangi Sungai Nenggiri yang menghubungkan Gua Musang dan Jeli di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang.

Beliau berkata jambatan berkenaan runtuh akibat banjir luar biasa yang berlaku hujung tahun lepas dan ia mendatangkan kesulitan kepada penduduk.

Katanya sebuah jambatan sementara bernilai lebih RM800,000 telah dibina dan akan dibuka sepenuhnya kepada pengguna pada akhir bulan ini.

"Jambatan sementara itu dibina bagi kemudahan penduduk memandangkan kira-kira 600 buah kenderaan menggunakan laluan tersebut setiap hari," katanya.

Sumber: BERNAMA | 6 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan