Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 23 Mei 2015

‘GST Kami Tanggung’ tidak dibenarkan

PUTRAJAYA: Peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dilarang menggunakan slogan GST Kami Tanggung untuk menarik perhatian pengguna kerana keadaan itu boleh mengelirukan orang ramai.

Pengarah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T. Subromaniam berkata, slogan dengan maksud serupa seperti Anda Beli Kami Tanggung, Harga Tak Naik dan GST Kami Bayar juga tidak dibenarkan.

Beliau berkata, penggunaan slogan-slogan tersebut perlu dielakkan kerana GST merupakan cukai kepenggunaan yang perlu dikenakan atas barang dan perkhidmatan yang dijual.

“Slogan ini akan mengelirukan pengguna apabila membeli barang di kedai yang mengiklan GST Kami Tanggung, tetapi GST tetap tertera pada resit,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya GST tidak ditunjukkan pada resit pula, keadaan itu akan menyebabkan pembeli yang merupakan peniaga tidak boleh menuntut cukai input.

Menurutnya, penggunaan slogan berkenaan turut memberi gambaran kurang tepat mengenai pelaksanaan GST kepada pelabur tempatan dan asing.

“Amalan seperti ini akan menyebabkan pelabur beranggapan bahawa GST perlu diserap oleh peniaga iaitu menambah kos perniagaan mereka,” katanya.

Menurutnya, premis dan PBT yang mencetak slogan tersebut dalam bentuk kain rentang atau poster dinasihatkan untuk menurunkan bahan berkenaan dengan segera.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 22 Mei 2015 | Terbitan 23 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan