Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 30 Mei 2015

Penduduk bantah pembinaan kondominium mewah di sebelah Masjid Telipot

Sebahagian penduduk Raja Dewa dan kariah Masjid Telipot, di sini, membantah pembinaan kondominium 24 tingkat yang akan dibina bersebelahan masjid, semalam.
KOTA BHARU: “Kami mahu Masjid Telipot dibesarkan, bukan bina kondominium mewah di sebelahnya,” luah jemaah masjid sekitar Raja Dewa, di sini, sebaik sahaja selesai solat Jumaat di situ, semalam.

Mereka juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan perancangan tersebut bersebelahan Masjid Telipot atau Masjid Sultan Muhammad II, di sini.

Bukan sahaja penduduk sekitar, malah kariah masjid berkenaan juga membantah syarikat pemaju berkenaan yang berhasrat menjadikan kondominium itu di atas tanah Lot PT470 iaitu di bekas tapak salah sebuah tabika yang sudah dirobohkan sejak sebulan lalu.

Timbalan Pengerusi Penduduk Kejiranan Raja Dewa, Mohd Yusman Yusof berkata, bantahan tersebut dilakukan setelah mengambil kira pendapat dan mengumpul tandatangan hampir 1,000 penduduk serta kariah masjid tahun lalu.

“Apa yang kami buat hari ini untuk masa depan generasi akan datang. Kami rasakan tanah ini patut diserahkan kepada Masjid Telipot dan benarkan pihak masjid buat apa-apa yang perlu untuk manfaat jemaah,” katanya kepada pemberita semasa bantahan pembinaan kondominium 24 tingkat ini, di sini, semalam.

Katanya, surat bantahan juga pernah dihantar kepada kerajaan negeri pada September tahun lalu, namun didakwa ia tidak diambil peduli.

Bagi jemaah, Sheikh Abdul Rahim Sheikh Mohamad, 51, merayu kerajaan negeri supaya membatalkan hasrat tanah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) itu dimajukan untuk membina kondominium.

“Kondominium itu tidak sesuai berada di sebelah masjid dan kami berharap YIK serahkan tanah ini untuk pembangunan Islam dan insan di Masjid Telipot,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri membuat keputusan membina kondominium berkenaan memandangkan kawasannya strategik dan berdekatan dengan masjid.

“Pembinaan kondominium ini bukan sahaja untuk penduduk tempatan, sebaliknya kita kongsi bersama dengan orang lain, jadi pembinaan kondominium ini boleh menampung keperluan ramai bagi mengimarahkan masjid.

“Mungkin bagi mereka (penduduk sedia ada) duduk lebih selesa, tetapi kita (kerajaan negeri) memikirkan pembinaan ini boleh berkongsi dengan jemaah lebih ramai dan lebih luas bagi mereka yang berada dekat masjid,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya bukan mahu menafikan hak orang lain, sebaliknya kerajaan negeri sudah merancang mengikut peraturan berdasarkan pindaan masjid, malah turut mengambil kira syarat pembinaan berdekatan masjid.

Ia memudahkan mereka yang pencen dan tidak bekerja dan mereka yang masih ada anak serta berupaya membeli kondominium berdekatan masjid.

“Mereka yang ada di situ mungkin meluahkan rasa terjejas, tetapi sebenarnya tidak kerana kita (kerajaan negeri) mengambil kira semua aspek termasuk dari segi kawalan kerana ia dibina di tapak tanah YIK,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Mei 2015

1 ulasan:

  1. Dulu Yayasan Islam Kelantan sekarang dah jadi Yayasan Israel Kelantan, sebab perangai YIK dah Hampir sama dengan Israel Di Palestin,Israel buat apa saja dikawasan sekeliling Masjid Baitulmaqdis tidak pedulikan langsung kepada orang islam.dan hampir sama macam wahabi di arab saudi bina bangunan tinggi-tinggi di sekeliling masjid alharam makkah.

    BalasPadam