Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 14 Mei 2015

Terengganu rancang bina LPT hingga ke Jertih

Jajaran Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) 
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk meneruskan projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) hingga ke Jertih, Besut, tetapi ia bergantung kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Ir Rosli Othman berkata Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya telah melaksanakan satu kajian bagi menentukan jajaran LPT fasa tiga daripada Kampung Gemuruh ke Tumpat, Kelantan.

"Perkara itu telah dibangkitkan kerajaan negeri semasa menghadiri taklimat Dana Khas Kerjaaan Persekutuan yang telah diadakan pada 23 Mac lalu di Kementerian Kewangan," katanya ketika menjawab soalan lisan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (BN-Kuala Besut) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Khamis.

Rosli berkata beberapa faktor akan diambil perhatian jika LPT fasa tiga itu disambung ke Jertih antaranya kos dan faktor melibatkan tanah kerajaan dan penduduk setempat.

Katanya turut diambil perhatian ialah impak kepada masyarakat sekitar sama ada akan memberi kesan kepada ekonomi dan pembangunan kawasan berkenaan.

Mengenai bayaran tol LPT2, beliau difahamkan ia dijangka akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang merancang akan menaiktaraf jalan persekutuan yang sedia ada dari Kampung Gemuruh melalui Sungai Tong, Bandar Permaisuri seterusnya ke Jertih.

"Ia memang dalam perancangan kerajaan negeri sebahagian daripada jalan yang terlibat adalah jalan pesisir pantai dari Kuala Terengganu-Setiu-Besut dan seterusnya dari Kuala Terengganu-Dungun-Kemaman," katanya.

Rosli berkata kerajaan juga akan membaiki dan menaiktaraf jalan-jalan yang mana telah disenaraikan dan Kementerian Kerja Raya telah mengangkat permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang bermula 2016-2020.

Sumber: BERNAMA | 14 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan