Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 13 Mei 2015

Kerajaan Terengganu perlu bincang agihan pendapatan LPT2

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri diminta mengadakan rundingan bersama kerajaan pusat mengenai kaedah pengagihan dan pengurusan pendapatan yang diperoleh daripada Lebuh Raya Pantai Timur Fasa II (LPT2).

Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) berkata, LPT2 pada mulanya dijangka bernilai RM1.8 bilion iaitu melibatkan kos sebanyak 50 peratus daripada Dana Khas dan 50 peratus daripada Kerajaan Persekutuan.

“Apabila saya dilantik menteri besar, saya tulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga sebagai Menteri Kewangan, bahawa saya tak izinkan wang ini diambil untuk pembinaan LPT2, cukup setakat yang diambil sahaja.

“Alasan saya, kerana ia tak adil. Negeri lain, dana pembinaan lebuh raya daripada kerajaan pusat atau swasta, tapi kita diambil daripada Dana Khas Persekutuan. Saya juga tak tahu kos sebenar pembinaan lebuh raya ini, dimaklumkan bernilai RM4 bilion,” katanya ketika sesi perbahasan pada sidang Dun, semalam.

Justeru, beliau meminta agar kerajaan negeri dapat buat semakan dengan kerajaan pusat mengenai perkara itu serta berbincang mengenai kaedah pengagihan dan pengurusan pendapatan yang diperoleh daripada lebuh raya berkenaan.

“Saya difahamkan bermula September ini, Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus) diberi tanggungjawab untuk menguruskan sektor lebuh raya ini. Kalau kerajaan pusat ambil daripada kita RM1 bilion, dengan kos RM4 bilion, maknanya kerajaan negeri Terengganu ada hak 25 peratus daripada pendapatan tol itu.

“Adakah kerajaan negeri pernah dipanggil untuk berunding kaedah pengagihan pendapatan dan pengurusan tersebut? Sepatutnya kerajaan negeri dipanggil untuk bincang mengenai perkara itu dan mereka perlu mendapatkan penjelasan dan integriti kerajaan pusat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan integriti pegawai kerajaan dan corak pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang didapati memberikan beberapa projek kepada bukan anak syarikat kerajaan negeri dan lebih mementingkan orang luar.

Beliau berkata, antaranya perkhidmatan pemasangan WiFi percuma dengan kos RM10 juta dahulunya diberikan kepada Top IT, kini diberikan kepada sebuah syarikat dari Klang, Selangor.

“Kerajaan negeri dulu pernah ambil sebuah syarikat menerusi anak syarikat Percetakan Yayasan Terengganu, sebuah syarikat yang hampir muflis tetapi terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri yang ketika itu mempunyai 100 lebih pekerja, yang 80 peratus lebihnya dari Kuala Nerus.

“Dengan inisiatif kerajaan memperkenalkan konsep baru kepada syarikat itu, menyebabkan ia telah beroleh keuntungan sehingga mampu membayar bonus kepada pekerja dan zakat kepada kerajaan negeri,” katanya.

Ahmad berkata, beliau berdukacita kerana terdapat pelbagai kepincangan yang berlaku sepanjang tempoh ini dan berharap dengan teguran ini ia dapat diperbetulkan pada masa depan.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Terengganu | 13 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan