Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 13 Mei 2015

Cabaran bina lebuh raya pertama Kelantan


KOTA BHARU: Dari tebing ‘tali air’ di Kampung Tiong, kira-kira 10 kilometer (km) dari pusat bandar, kerancakan pembinaan projek Central Spine Road (CSR) Kota Bharu - Kuala Krai atau lebih dikenali dengan Lebuh Raya Kobagi Pakej 1B boleh dilihat dengan jelas.

Pelbagai jenis kenderaan berat, jentera serta kenderaan pacuan empat roda keluar masuk ke tapak projek silih berganti. Kebanyakan lori pula membawa muatan pasir, tanah serta batu. Selain itu, para pekerja turut tekun melakukan tugas masing-masing.

Tidak jauh dari situ, sekumpulan penduduk kampung duduk bersantai di pokok. Mereka berbual dan bergurau senda sambil mata leka menyaksikan kerja-kerja pembinaan dari jauh.

Cuaca panas terik manakala keadaan di sekitar tapak projek agak berdebu. Namun, kumpulan itu terus memerhatikan kerja-kerja membersih dan merata kawasan, menambak serta memasang cerucuk dengan penuh minat.

“Kami tidak sabar mahu melihat lebuh raya ini siap dan menggunakannya,” kata seorang daripada mereka, wanita berusia lingkungan 30-an ketika disapa.

Sebagaimana penduduk Kampung Tiong, perasaan sama juga sebenarnya dirasakan semua rakyat Kelantan, termasuk penulis yang sudah lama mengimpikan untuk melihat lebuh raya dibina di negeri ini.

Sehubungan itu, pelaksanaan jajaran CSR Kota Bharu - Kuala Krai yang melibatkan laluan sepanjang 73 kilometer bermula dari bandar ini hingga ke Kuala Krai boleh diibaratkan seperti sebuah impian yang akhirnya menjadi kenyataan bagi kami.

Dikawal selia oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), projek mega bernilai RM1.8 bilion itu terbahagi kepada tiga fasa utama iaitu Pakej 1, 2 serta 3.

Pakej 1B merupakan pecahan kepada fasa pertama. Dilancarkan pada April tahun lalu oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pakej 1B melibatkan laluan sejauh tujuh km dari Pasir Hor ke Kadok.

Projek yang menelan belanja RM168.5 juta itu melibatkan pembinaan lebuh raya empat lorong dua hala dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun iaitu pada April 2017.

Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Wan Marzuki Wan Ismail berkata, dalam tempoh setahun yang pertama, orang ramai hanya melihat kawasan yang terlibat di sepanjang jajaran telah dirata dan dibersihkan.

Selain itu, tambah beliau, tidak banyak kemajuan lain yang dapat disaksikan dengan ‘mata kasar’.

Keadaan ini bagaimanapun bukanlah bermakna Pakej 1B tergendala atau bergerak terlalu perlahan. Projek ini tetap mengikut jadual dan kita optimis mampu siap lebih awal berbanding sasaran tiga tahun,” tegas beliau.

Menurut Wan Marzuki, ‘musuh’ utama pihak pemaju adalah bentuk muka bumi di sepanjang laluan itu yang lebih 80 peratus merupakan sawah padi.

Ciri-ciri tersebut memerlukan pihaknya melakukan proses merawat tanah terlebih dahulu kerana bahagian itu perlu dipastikan cukup kukuh serta stabil sebelum lebuh raya dibina di atasnya.

Antara langkah utama bagi merawat tanah ialah melakukan stone column, iaitu proses memperkuatkan struktur tanah dengan cara menebuk lubang dan pada masa sama mengisi ruang tersebut dengan batu.

Bagi Pakej 1B yang panjangnya sekadar tujuh km, sebanyak 10,900 titik telah dikenal pasti untuk ditebuk menggunakan mesin khas. Dengan keupayaan mesin yang mampu menebuk sekitar 10 hingga 20 titik sehari, masa selama setahun diperlukan untuk menyelesaikan kerja-kerja tersebut,” ujar Wan Marzuki.

Menurut Wan Marzuki, selain stone column, rawatan tanah turut dilakukan dengan cara membuang bahan tidak sesuai sebelum menggantikannya dengan pasir, memasang saluran menegak prefabrikasi (PVD) bagi mengalih aliran air bawah tanah serta memasang lapisan khas menggunakan woven geotextile.

“Kita sekarang sedang membina lebuh raya, bukan jalan biasa. Jika tanah tidak dirawat dengan langkah-langkah yang saya sebut ini, strukturnya akan terjejas lebih awal seperti mendap sedangkan jangka hayat sesebuah lebuh raya adalah sehingga 100 tahun,” katanya.

Mengikut rekod, proses merawat tanah serta menambak menelan belanja paling tinggi iaitu mewakili 36 peratus daripada jumlah keseluruhan kos projek Pakej 1B manakala pembinaan struktur seperti jambatan dan jejambat pula mewakili 33 peratus, penurapan (11.5 peratus) dan sistem saliran (6.4 peratus).

Jajaran CSR merupakan sebuah lebuh raya yang memiliki kualiti gred R5 iaitu jalan dengan kelebaran minimum 3.5 meter dan ketinggian sehingga enam meter dari aras tanah.

Di samping laluan empat lorong dua hala, Pakej 1B melibatkan pembinaan enam jambatan, dua persimpangan lampu isyarat, dua jejambat serta lima terowong kecil atau vehicular box culvert (VBC) bagi memudahkan pesawah berulang-alik di kawasan itu.

Wan Marzuki dalam pada itu berkata, selain keadaan tanah, satu lagi masalah utama yang dihadapi pihaknya ialah kewujudan deretan menara transmisi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merintangi projek Pakej 1B berdekatan kawasan Pasir Hor.

Jelas beliau, deretan menara transmisi TNB tersebut merupakan ‘lebuh raya elektrik’ yang bervoltan tinggi dan perlu dijauhi dalam lingkungan jarak tertentu.

“Masalahnya sekarang, Pakej 1B yang sedang dibina, tinggi jalannya adalah enam meter dari aras tanah dan jalan itu akan lalu di bawah sekurang-kurangnya dua menara transmisi TNB.

“Dengan kata lain, lebuh raya ini kelak sudah memasuki jarak tidak selamat sekali gus mengundang bahaya kepada kenderaan yang lalu di bawah dua menara berkenaan,” katanya.

Bagi menyelesaikan perkara, pihak JKR dan ECERDC telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pengurusan TNB.

Dua langkah penyelesaian dikenal pasti iaitu sama ada tapak bagi dua menara terbabit perlu ditambak dan ditinggikan atau laluan Pakej 1B perlu dilencongkan.

“Setakat ini belum ada kata putus diterima berhubung masalah ini namun kita akan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan projek ini berjalan mengikut jadual,” kata Wan Marzuki.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 7 Mei 2015 | Terbitan 8 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan