Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 24 Mei 2015

Orang ramai tidak asing sisa pepejal boleh didenda RM1,000 - Alam Flora

KUANTAN: Bermula 1 Sept ini, orang ramai yang tidak mengasingkan sisa pepejal ke dalam plastik bersesuaian di rumah sebelum membuangnya mengikut jenis dalam tong sampah yang disediakan boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000.

Ketua Eksekutif Alam Flora, Mohd Zain Hassan berkata, sehubungan itu mereka kini giat melaksanakan Program 3R iaitu 'reduce' (pengurangan), 'reuse' (penggunaan semula) dan 'recycle' (kitar semula) bagi memberi kesedaran berhubung perkara itu.

"Bagi merealisasikannya, satu langkah proaktif dibuat iaitu dengan mewujudkan skuad Eco Rangers Alam Flora (Eco Rangers) bertujuan mendidik, memberi kesedaran dan maklumat kepada orang ramai tentang kepentingan kitar semula.

"Jadi untuk itu, jika orang ramai masih lagi tidak mengasingkan sistem pepejal di rumah masing-masing selepas penguatkuasaannya, mereka akan dikenakan kompaun sehingga RM1,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penerangan kepada penduduk di kawasan perumahan Bukit Istana dekat sini Sabtu.

Mohd Zain berkata, peraturan itu bakal dijalankan secara berperingkat-peringkat sebelum dikuat kuasa pada 1 Sept depan.

Katanya ia dilaksanakan mengikut Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan akan dijalankan oleh Penguat Kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).

Katanya, kewujudan skuad Eco Rangers juga tepat pada masanya kerana kaedah itu digunakan untuk menyebarkan informasi secara meluas mengenai cara pengasingan sisa sampah.

Katanya, kenderaan khas skuad Eco Rangers yang membawa beberapa kakitangan Alam Flora akan berhenti di empat hingga lima lokasi tumpuan orang awam seperti di taman permainan, pasar dan pusat riadah selama 30 atau 45 minit pada satu-satu masa.

Katanya, ejen skuad Eco Rangers akan mengadakan ceramah, sesi penerangan, mengedarkan risalah berkaitan 3R kepada orang ramai dalam setiap sesi rondaan tersebut.

Beliau berkata, kaedah mendekati masyarakat seperti ini dilihat lebih mudah dan ringkas serta dapat dilaksanakan melalui cara bersemuka serta tepat kepada golongan sasar seperti pelajar sekolah, kakitangan awam dan suri rumah.

"Kempen kitar semula perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran dan menerapkan budaya mengitar semula dalam kehidupan seharian," katanya.

Sumber: Bernama | 23 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan