PASIR PUTEH: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yakin permintaan dari Turki terhadap bekalan komoditi kenaf dari negara ini sebanyak 200 tan sebulan mendorong petani menebus guna tanah terbiar untuk mengusahakan tanaman itu secara produktif.
Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor berkata, pada peringkat permulaan negara tersebut memerlukan sebanyak 200 tan hasil kenaf yang telah siap diproses untuk industri permaidani
“Ini membuktikan bahawa negara pengeluar permaidani terbesar dunia itu yakin terhadap kualiti gentian fiber daripada kenaf keluaran Malaysia apabila menyatakan kesediaan untuk membelinya menerusi bekalan yang berterusan.
“LKTN akan cuba memenuhi permintaan itu kerana ini adalah satu peluang keemasan untuk mengeksport hasil kenaf sebagai sumber komoditi baharu yang perlu setanding dengan pengeluaran hasil kelapa sawit dan getah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis perasmian Kenaf Rakan Rakyat (IKRaR) di Kampung Saring dekat sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman. Yang hadir sama, ADUN Selising, Zulkifle Ali merangkap anggota Lembaga Pengarah LKTN.
Samsudin berkata, bermula awal tahun ini LKTN telah membekalkan sebanyak 200 tan bahan mentah kenaf ke China pada setiap bulan bagi menghasilkan pelbagai produk berkaitan industri automotif.
Menurutnya, berdasarkan permintaan tinggi dalam dan luar negara terhadap kenaf, pihaknya menyasarkan untuk mengusahakan lebih 10,000 hektar kawasan penanaman komoditi tersebut di seluruh negara menjelang tahun 2020.
“Ini termasuk membangunkan tanah-tanah terbiar di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan akan turut diperluaskan ke negeri Pahang,” katanya.
Tambahnya, dalam masa yang terdekat LKTN merancang untuk menambah projek penanaman kenaf sebanyak 701 hektar lagi di negeri ini dengan menyasarkan perolehan hasil pendapatan sebanyak RM3.5 juta.
Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 17 Mei 2015 | Terbitan 18 Mei 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan