Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 14 Mei 2015

AKPK tawar khidmat percuma untuk elak masalah kewangan

KOTA BHARU: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menggesa orang ramai mendapatkan perkhidmatan pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit yang ditawarkan agensi itu secara percuma bagi mengelak masalah kewangan termasuk muflis.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata setakat ini, agensi itu mempunyai 11 cawangan dan 23 pejabat kaunseling di seluruh negara untuk kemudahan orang ramai.

"Perkhidmatan kaunseling kewangan telah membantu ramai individu dalam penguruskan perbelanjaan bulanan mereka. Begitu juga program pengurusan kredit telah membantu ramai individu untuk membuat pelan penstrukturan semula pinjaman dengan persetujuan daripada pengendali kredit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program AKPK Bersama Anda di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, hari ini.

Azaddin berkata sejak AKPK ditubuhkan pada 2006 hingga April tahun ini, lebih 330,000 orang telah mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi itu.

"Di bawah program pengurusan kredit, sejak 2006 hingga 30 April lepas, seramai 119,186 orang telah dibantu dan daripada jumlah itu seramai 7,630 orang telah berjaya menamatkan program tersebut dengan jumlah bayaran balik pinjaman melebihi RM300 juta," katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang mengatur pelbagai program dalam usaha mendidik orang ramai berhubung ilmu pengurusan kewangan peribadi agar mereka lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap urusan kewangan.

Sumber: BERNAMA | 14 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan