KOTA BHARU: Pendayung kayak solo, Murad Mohd. Kassim, 45, berjaya menamatkan misi berkayak mengelilingi Semenanjung Malaysia dalam tempoh 52 hari.
Murad menamatkan dayungan sejauh 2,200 kilometer (km) apabila selamat tiba di Jeti Tambatan Diraja di sini pada kira-kira pukul 5 petang ini selepas memulakan misinya di Jeti Kastam, Kuala Perlis, Perlis pada 1 April lalu.
Ketibaan pesara tentera itu dengan kayak yang dinamakan Abd. Rahman itu disambut Penasihat Kelab Ekspedisi 7 Benua (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mohd. Yusof.
Katanya, dia berasa gembira kerana berjaya menamatkan misi itu lebih awal selepas berdepan dengan pelbagai cabaran terutama apabila beberapa kali dihempas ombak sehingga kayaknya terbalik.
Menurutnya, cabaran itu bagaimanapun tidak menghalangnya untuk berdayung antara 30 hingga 40km setiap hari.
“Saya sama sekali tidak menjangkakan dapat menamatkan cabaran ini dalam masa 52 hari sahaja kerana sasaran awal misi ini adalah kurang daripada 60 hari.
“Saat berdepan tekong kapal di lautan dan pihak yang mencurigakan adalah paling mencemaskan saya. Masa itu memang terfikir nyawa tak panjang tapi alhamdulillah berjaya juga dengan pantauan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sumber: Utusan Online | Nasional | 22 Mei 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan