Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 13 Mei 2015

Kampung Pulau Kundur diancam hakisan


Che Razali Zawawi (tengah) dan Awang Lah Mat Sih (kiri) melihat tempat memproses ikan yang kini tidak lagi dapat beroperasi selepas tertimbus pasir kesan hakisan di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Lebih 100 penduduk di Kampung Pulau Kundur di sini hidup dalam kebimbangan apabila hakisan pantai semakin menghampiri kawasan kediaman mereka.

Wakil penduduk, Rohani Hassan, 51, berkata, masalah itu bertambah teruk selepas bah kuning membadai negeri ini pada penghujung Disember tahun lalu.

Menurutnya, hakisan tersebut bertambah buruk ketika kejadian air pasang besar pada Mac lalu sehingga rumah mereka turut dima­suki air.

“Memang takut, lebih-lebih lagi ombak memukul dinding rumah tetapi kami tidak ada pilihan selain bertahan di sini.

“Walaupun sedar tidak ada jaminan keselamatan, namun kami terpaksa mengharunginya jua,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rohani yang juga ibu kepada tujuh anak memberitahu, dia tinggal di kampung tersebut sejak 44 tahun lalu.

Katanya, bah kuning pada penghujung tahun lalu menyebabkan rumahnya kini berada ‘di atas’ tanah selepas hampir kesemua tiang ditimbusi pasir yang dibawa ombak.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hakisan itu semakin menghampiri rumah Rohani dengan jarak kira-kira 30 meter daripada pantai berbanding 200 meter sebelum ini.

Seorang lagi penduduk, Awang Lah Mat Sih, 53, berkata, kehidupan mereka di kawasan itu terganggu kerana bimbang dengan ancaman hakisan tersebut terutama kita air pasang besar yang menyebabkan rumah mereka turut dipenuhi air.

“Bagaimana untuk menghadapi tengkujuh akan datang, tidak mustahil hakisan lebih teruk berlaku, malah mungkin jika tidak ada benteng rumah kami akan terima kesannya.

“Saya bersama penduduk kampung merayu kepada pihak berwajib supaya membina tembok penghadang atau membaiki segera kawasan hakisan ini bagi mengelak perkara yang lebih buruk berlaku,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Pulau Kundur, Che Razali Zawawi berharap tindakan segera dapat diambil pihak bertanggungjawab bagi mengelak hakisan lebih buruk berlaku.

“Kalau boleh kita tidak mahu apa (hakisan) yang berlaku di Sabak berlaku di sini, walaupun belum ada rumah di sini yang dihanyutkan ombak sebagaimana di Sabak.

“Selain kesan tengkujuh, pesisir pantai berkenaan dipercayai terhakis teruk akibat kesan pembinaan benteng di Pantai Cahaya Bulan yang siap sebelum banjir melanda Kelantan tahun lalu,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 7 Mei 2015 | Terbitan 8 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan