Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 31 Mei 2015

KKLW giat baik pulih jalan di negeri terjejas banjir

KOTA BHARU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sedang giat membaik pulih jalan raya yang rosak di semua negeri yang terjejas akibat banjir pada hujung tahun lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata sebanyak RM130 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menurap jalan raya yang rosak akibat bencana banjir itu.

"Sekarang 30 peratus kerja membaik pulih jalan raya telah berjaya disiapkan di Pantai Timur khususnya di Kelantan...kita sedang berusaha untuk siapkan secepat mungkin.

"Kalau boleh kita tidak mahu lengahkan. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama bagi membolehkan pihak kita menjalankan kerja membaik pulih jalan dengan lebih cepat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 dan Hari Invoasi 2015 Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini, Ahad.

Turut hadir Pengurus Besar Kesedar Datuk Mohd Arshad Ismail Mohd Shafie.

"Kerosakan besar adalah seperti jambatan runtuh dan proses membaik pulih kerosakan sebegini mengambil tempoh masa yang lama.

"Bagi kerosakan biasa seperti jalan pecah, kita sudah pun turap jalan itu. Kita sentiasa berusaha untuk membaiki jalan raya ini secepat mungkin demi kemudahan rakyat," kata Alexander.

Sementara itu, beliau berkata kementerian melalui Kesedar telah berjaya membaiki 480 buah rumah yang rosak akibat banjir di empat jajahan iaitu Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Gusa Musang.

"Kita perlu membaiki 1,200 buah rumah dan sekarang 480 telah berjaya dibaiki, yang selebihnya masih dalam proses baik pulih.

"Kos rumah yang dibaiki tidak lebih daripada RM10,000 (seunit) dan kita perlu kerjasama semua pihak untuk mempercepatkan lagi proses ini memandangkan bulan Ramadan sudah semakin dekat," katanya.

Sumber: Bernama | 31 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan