KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) akan mengadakan Festival Islam awal bulan depan sebagai pendekatan memberi kesedaran dan pemahaman mengenai keindahan Islam.
Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAHEIK Mohd Farid Abdul Razak berkata festival itu akan diadakan tiga hari bermula 8 Jun depan bertempat di ruang legar KB Mall, Kota Bharu.
"Kita dapati akhir-akhir ini agama dan umat Islam dilabel kononnya sebagai masyarakat yang kejam terutama membabitkan isu Islamic State (IS) dan beberapa isu sosial lain.
"Seiring dengan perkembangan negatif ini, istilah Islamofobia telah menjadi popular dalam memberikan gambaran tentang persepsi masyarakat terhadap umat Islam dan Islam itu sendiri," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat Pelantikan Jawatankuasa Kerja Hebahan dan Promosi Sempena Festival Islam di Kompleks Islam Darulnaim di sini, hari ini.
Mohd Farid berkata penyebaran berita negatif itu akan memberi perspektif tidak tepat dan memberi kesan kepada kesyumulan Islam.
"Dalam kecanggihan teknologi tanpa sempadan, kita dapati Islam dilabel sebagai pengganas, hukum hudud sebagai hukuman yang kejam dan bercanggah dengan hak asasi dan kem humanisme, dan sebagainya," katanya.
Sehubungan itu, katanya JAHEIK mengambil tanggungjawab mengadakan festival tersebut sebagai usaha mengekang persepsi negatif berkenaan.
"Golongan remaja yang berumur antara 12 dan 22 tahun adalah sasaran utama festival yang julung kali diadakan ini kerana kelompok ini mudah terdedah dengan pelbagai anasir negatif media sosial," katanya.
Antara program yang diadakan termasuk bicara kisah pejuang Islam, azan spontan, demonstrasi dan pertandingan khat serta cerita Islam pendakwah cilik.
Sumber: BERNAMA | 14 Mei 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan