Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 30 Mei 2015

Peruntukan RM200 juta bina 11 klinik desa di Kelantan

GUA MUSANG: Kementerian Kesihatan memperuntukkan RM200 juta bagi membina 11 klinik desa di Kelantan yang musnah akibat banjir pada Disember tahun lepas, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahya (gambar).

Beliau berkata, pembinaannya telah dimulakan secara berperingkat dan dijangka siap tidak lama lagi kerana kerajaan faham masalah itu perlu di atasi segera untuk kemudahan rakyat. 

"Kami (kementerian) menerima peruntukan RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan jadi kami bina klinik baharu ini di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Perintis Air Terawat di Kampung Star di sini, semalam.

Katanya sementara menunggu pembinaan klinik baharu siap, pihak kementerian membina khemah sebagai klinik sementara untuk penduduk mendapatkan rawatan harian. 

Beliau berkata, khemah berkenaan akan diganti dengan kabin bagi memberi rawatan yang lebih sempurna dan selesa kepada orang ramai.

Mengenai projek perintis air terawat itu, Dr Hilmi berkata, projek terbabit hasil kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk membekalkan air bersih kepada 1,500 penduduk kampung berkenaan. 

“Projek itu adalah yang pertama di negara ini dan jika ia berjaya akan turut dilaksanakan pula di kampung lain di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

“Apa yang saya lihat semuanya menggunakan teknologi moden dan canggih bagi menghasilkan air yang bersih hingga tidak perlu dimasak serta boleh diminum terus,” katanya.

Sumber: Bernama | 30 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan