Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 13 Mei 2015

Pelombong mohon kadar royalti besi, feldspar tidak dinaikkan


AHMAD YAKOB (kanan) melihat jenis-jenis mineral asli yang terdapat di Kelantan sambil diberi penerangan oleh Wan Mustafa Wan Ab. Hamid (dua dari kanan) semasa Majlis Perasmian Pejabat Pulai Mining Sdn. Bhd. Cawangan Kota Bharu di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Sebuah syarikat perlombongan, Pulai Mining Sdn. Bhd. memohon Kerajaan Pas Kelantan supaya menimbangkan semula cadangan untuk menaikkan kadar royalti besi dan feldspar ekoran kejatuhan mendadak harga bahan galian tersebut.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Wan Mustapha Wan Ab. Hamid berkata, pemain industri pelombongan dihimpit dengan kos pengeluaran yang meningkat disebabkan harga bahan galian itu menjunam sebanyak 36 peratus sejak tahun lalu.

“Kejatuhan harga ini menyebabkan kita (Pulai Mining Sdn. Bhd.) terpaksa menangguhkan penjualan pengeluaran besi pada tahun lalu sebanyak 30,000 metrik tan.

“Dulu jumlah itu (pengeluaran besi) boleh bernilai hampir RM3 juta tetapi sekarang (selepas kejatuhan harga) hanya sekitar RM1 juta lebih. Selain itu, kita terpaksa menangguhkan penjualan selain faktor pembersihan sungai dan persetujuan untuk menandatangani urusan jual beli.

“Pada masa sama, kerajaan negeri cuba menaikkan kadar royalti besi sehingga 15 peratus berbanding kini sebanyak lima peratus bagi setiap tan matrik manakala feldspar pula ditingkatkan dari lima peratus kepada 25 peratus,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pejabat Cawangan Usahasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Pulai Mining Sdn. Bhd. yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Dr. Ramli Mamat serta Ketua Eksekutif PKINK, Dr. Wan Zawawi Wan Ismail.

Wan Mustapha berkata, pelombong-pelombong di negeri ini berharap dapat mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Pas Kelantan berhubung perancangan menaikan kadar royalti bagi memastikan kedua-dua pihak boleh mendapatkan keuntungan.

Kata beliau, pihak pelombong kini berada dalam kesukaran berikutan kejatuhan besi dari RM140 hingga RM160 kepada RM85 satu tan matrik.

“Pelombong kini memang tidak mendapat keuntungan berikutan kos pengeluaran sahaja sekitar RM40 manakala kos pengangkutan mencecah RM30, bayaran royalti paling minimum sebayak RM4 dan insurans kapal sekitar RM10.

“Kita berharap perbincangan dapat dilakukan bagi mendapatkan kadar royalti yang sesuai yang mana kerajaan negeri boleh mendapat cukai dan pelombong boleh berniaga,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 28 April 2015 | Terbitan 29 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan