Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 22 Mei 2015

RMK11: Lima projek KKR buka ruang ekonomi kepada rakyat dan industri

KUALA LUMPUR: Lima projek utama di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini akan membuka ruang dan peluang ekonomi kepada rakyat sehinggalah kepada pemain industri pembinaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan berkata projek itu juga merupakan pembinaan akses terbesar dalam RMK11 dan dijangka memberi impak yang positif kepada rakyat.

"Lima projek iaitu Projek Lebuhraya Pan Borneo, Projek Central Spine Road (CSR), Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, Projek Lebuh Raya Pantai Barat dan pembinaan rangkaian jalan di dalam Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang," katanya.

Lima projek itu merupakan strategi kelima daripada enam strategi tumpuan dalam RMK11 iaitu pembangunan infrastuktur, menjadi tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh KKR selaku peneraju sektor pembinaan negara.

Beliau berkata sektor pembinaan merupakan sektor yang sangat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, ini dapat dilihat dari aspek peningkatan permintaan terhadap infrastuktur moden serta cekap setiap tahun dan ini menggambarkan persekitaran yang selari dengan matlamat ke arah negara maju.

Fadillah berkata dalam konteks meningkatkan kemampanan dalam sektor pembinaan, KKR dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menggerakkan rangka dasar penggunaan dan pengeluaran mapan yang menjadi asas dalam RMK11.

Katanya rangka dasar itu bertujuan untuk mengukuhkan dasar sedia ada, mengurangkan penggunaan sumber asli, mengurangkan pengeluaran asap, bahan buangan dan pencemaran lain sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan.

"Di bawah kerangka dasar ini, industri pembinaan akan menjadi sektor utama yang akan diketengahkan," katanya.

Beliau berkata selain itu, kementerian juga akan memastikan bangunan baharu kerajaan akan menerapkan ciri dan reka bentuk hijau serta menggunakan bahan binaan yang mesra alam berdasarkan Skim Penarafan Hijau Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala bangunan sedia ada akan diretrofit secara berperingkat.

Katanya ia satu daripada fokus baharu yang akan menyumbang ke arah menjamin daya tahan bangunan daripada ancaman perubahan iklim serta cuaca ekstrim.

"KKR amat komited untuk terus melaksanakan dan memperkukuh dasar sedia ada untuk terus memartabatkan industri pembinaan serta berdaya saing di peringkat global.

"Kementerian percaya industri pembinaan negara akan terus berkembang dan strategi tumpuan utama RMK11 ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur berimpak tinggi," kata Fadillah.

Beliau berkata pembentangan hari ini merupakan satu lagi bukti komitmen dan kesungguhan kerajaan persekutuan dalam merangka perancangan pembangunan negara yang bukan sahaja strategik malah memenuhi aspirasi rakyat.

Tambahnya, RMK11 ini lebih menjurus kepada 'pertumbuhan berpaksikan rakyat' serta dilihat sebagai pusingan akhir perancangan 5 tahun kerajaan sebelum mencapai status negara maju seperti mana yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.

Sumber: Bernama | 11 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan