Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 13 Mei 2015

Jakim salur RM63.17 juta kepada Kelantan


Ahmad Yakob (tengah) menyaksikan Razali Shahabudin (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Serpuddin Mohamad dalam majlis Multaqa Imam, Guru Takmir, Guru KAFA dan Jawatankuasa Masjid Mukim Negeri Kelantan 2015 di Kompleks Islam Darul Naim, Lundang, Kelantan, semalam. Turut sama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (kanan).
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyalurkan peruntukan sebanyak RM63.17 juta kepada Kerajaan Pas Kelantan untuk pembayaran elaun aktiviti keagamaan sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Datuk Razali Shahabudin berkata, daripada jumlah itu, RM52.76 juta diperuntukkan untuk membayar elaun 5,262 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negeri.

Selebihnya, kata beliau, diperuntukkan untuk membayar elaun 864 imam (RM7.5 juta), elaun 267 guru takmir (RM2.56 juta) serta elaun 10 penyelaras pentadbiran masjid daerah (RM341,275).

“Walaupun bantuan kewangan diperuntukkan dalam usaha memakmurkan masjid, diharap umat Islam serta pihak pengurusan masjid mampu berdikari serta mengambil inisiatif sendiri untuk terus meningkatkan syiar Islam di kariah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam Multaqa Imam, Gu­ru Takmir, Guru KAFA dan Jawatankuasa Masjid Mukim Negeri Kelantan 2015, di sini hari ini.

Perasmian majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. Dalam majlis sama, Ahmad turut melancarkan e-Takmir, iaitu portal khas bagi menyelaraskan program takmir masjid serta surau yang dikendalikan Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Menerusi portal berkenaan, orang ramai boleh menyemak jadual guru takmir, mendapatkan maklumat terkini serta memberi maklum balas manakala para guru pula boleh membuat semakan elaun atau cetakan penyata elaun masing-masing.

Sementara itu, Ahmad memuji inisiatif Maik memperkenalkan e-Takmir yang dilihat mempermudahkan lagi urusan orang ramai.

Beliau turut menggesa pihak pengurusan masjid supaya terus kreatif dan melakukan pembaharuan dalam perkhidmatan masing-masing bagi menarik lebih ramai jemaah, terutama golongan muda mengimarahkan masjid.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 11 Mei 2015 | Terbitan 12 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan