Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 23 Mei 2015

RMK11: Empangan Nenggiri dan Lebir mampu menakung kapasiti air hujan luar biasa - JPS

KUALA LUMPUR: Pembinaan dua empangan iaitu di Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir di Kelantan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan dapat menampung kapasiti air hujan luar biasa, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ir Hanapi Mohamad Noor.

Beliau berkata jabatan dalam proses menstrukturkan pelan empangan itu bagi menakung kapasiti air hujan sehingga 507 mm sehari bagi setiap empangan.

"Dengan membina empangan itu, (air hujan) di kawasan-kawasan tadahan air di Hulu Sungai Kelantan, dapat ditakung khususnya di kawasan pedalaman terutama di Gunung Gagau.

"... dan kapasiti kedua-dua empangan itu mampu mengurangkan 50 peratus aliran air yang turun di kawasan tadahan daripada memasuki ke bahagian hilir sungai biarpun ketika fenomena hujan luar biasa," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kedua-dua empangan itu juga akan menjadi empangan pelbagai guna iaitu selain sebagai projek tebatan banjir Sungai Kelantan, ia juga berfungsi menjana kapasiti hidroelektrik dan bekalan air bagi negeri itu.

"Kami masih dalam perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk merancangan berapakah kapasiti elektrik yang mampu dijana oleh empangan itu," kata Hanapi.

Setakat ini, Kelantan hanya mempunyai sebuah empangan iaitu Empangan Pergau yang terletak merentasi Sungai Pergau, Jeli, kira-kira 70 kilometer ke barat daya Kota Bharu.

Sungai Lebir dan Sungai Nenggiri merupakan cabang utama Sungai Kelantan yang akan bercantum di Kuala Krai dan mengalir ke utara negeri itu melalui jajahan Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Kota Bharu menuju ke Laut China Selatan.

Analisis data paras air sungai utama (hidrograf) yang dibuat oleh JPS Kelantan mendapati peningkatan paras air akibat hujan lebat di kawasan Ulu Kelantan dari 17 Dis. hingga 24 Dis. tahun lepas menyebabkan kemuncak banjir di negeri itu.

Stesen menyukat hujan di Gunung Gagau, Gua Musang mencatatkan 507 mm hujan dalam sehari berbanding hanya 20 mm pada hari kebiasaan.

Banjir buruk yang melanda Kelantan tahun lepas, telah menyebabkan kemusnahan harta benda malah memaksa lebih 104,000 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan.

Sumber: Bernama | 22 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan