KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan dalam bidang kecemasan menerusi program Perubatan Kecemasan (MMed) yang mula dilaksanakan sejak tahun 1998.
Pakar MMed USM, Prof. Dr. Kamarudin Jaalam berkata, kepakaran dalam bidang tersebut sangat diperlukan khususnya ketika negara berdepan dengan bencana seperti banjir, gempa bumi dan tsunami.
Beliau berkata, selaras dengan itu, pihaknya kini bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) bagi menjalankan program tersebut.
“Program latihan residensi empat tahun ini adalah yang pertama di Malaysia dan juga di rantau Asia di mana pelajar didedahkan dengan asas ilmu yang kukuh dan latihan klinikal di Hospital USM dan Hospital Kuala Lumpur.
“Kepakaran dalam bidang ini sangat diperlukan dengan keadaan dunia yang cepat berubah dan bencana boleh berlaku di mana-mana sahaja seperti banjir besar yang baru sahaja berlaku di Pantai Timur tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor Kampus Kesihatan USM 2015 di USM Kubang Kerian, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM, Datuk Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal serta Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed.
Pada majlis tersebut, Kamarudin dilantik sebagai profesor bersama dua lagi pakar perubatan iaitu Dr. Rosline Hassan dan Dr. Hasnan Jaafar.
Kamarudin berkata, sehingga kini USM telah berjaya melahirkan 131 pakar perubatan kecemasan yang telah ditempatkan khusus dalam bidang tersebut.
“Graduan yang dikeluarkan terbukti memberi kesan positif kepada perkhidmatan kesihatan di Malaysia dan gambaran negatif tentang perkhidmatan di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan telah banyak berubah.
“Kita berharap, lebih banyak pakar dalam bidang ini dapat dilahirkan bagi memberi manfaat berterusan kepada rakyat Malaysia dan dunia amnya,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 19 Mei 2015 | Terbitan 20 Mei 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan