Sebuah kereta melalui jalan yang berlubang-lubang di Kampung Kota Jembal, Kota Bharu, Kelantan, semalam. |
KOTA BHARU: Hampir 2,000 penduduk di
sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Bahar, Kota Jembal di sini terpaksa
berdepan dengan pelbagai masalah ekoran kerosakan jalan di Kampung Kota
Jembal di sini yang semakin serius.
Selain keadaan jalan yang berlubang-lubang, kerja-kerja membaik pulih
longkang di sepanjang jalan berkenaan juga masih lagi terbengkalai
sejak tiga bulan lalu tanpa sebarang tindakan.
Keadaan tersebut turut menyebabkan kawasan yang menjadi laluan utama
pelajar untuk ke sekolah itu mengalami limpahan air sehingga memasuki
kawasan sekolah dan ke dalam kelas.
Menurut seorang penduduk, Azharuddin Mat, 50, keadaan tersebut
telah menimbulkan kesukaran kepada penduduk di kawasan berkenaan
memandangkan ia adalah laluan utama mereka setiap hari.
'Projek baik pulih longkang serta jalan ini sepatutnya telah lama
disiapkan namun ia masih terbengkalai sehingga hari ini dan mendatangkan
kesulitan kepada penduduk di sini.
"Saya berharap perkara ini diberi perhatian yang sewajarnya
memandangkan jalan ini bukan hanya digunakan untuk pelajar-pelajar
sekolah, malah turut menjadi laluan penghubung untuk beberapa buah
kampung yang berdekatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di
sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Nasir Ismail, 43, berkata, dia
menghadapi kesukaran setiap kali melalui jalan tersebut memandangkan
keadaan laluan yang sempit serta berlubang-lubang.
"Keadaan jalan ini cukup bahaya terutamanya kepada pengguna motosikal
yang mana sebelum ini telah berlaku beberapa kemalangan hingga terpaksa
di bawa ke hospital.
"Justeru, tindakan segera perlu diambil oleh pihak-pihak yang
berwajib bagi mengelakkan kejadian yang sama terus berulang dan lebih
ramai lagi yang akan menjadi mangsa," katanya.
Bagi seorang penduduk, Nik Mohd. Rosdi Nik Mat, 46, berkata,
dia berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memberi
keselesaan kepada penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
"Saya amat berharap, masalah ini dapat ditangani segera supaya laluan
tersebut dapat dibaiki dengan sempurna untuk kegunaan semua," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Haris
Hussin turut memohon kepada pihak yang bertanggungjawab supaya segera
menyiapkan kerja-kerja baik pulih ini secepat mungkin bagi mengelak
masalah kepada penduduk setempat.
"Sekiranya masalah ini masih lagi berlarutan, saya akan cuba membantu
membawa masalah ini kepada pihak berkaitan selain merujuk kepada
Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi mempercepatkan usaha baik
pulih," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 27 Januari 2014