KOTA BHARU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan membina lima telaga tiub, masing-masing berharga RM250,000 sebagai langkah mengawal dan menangani masalah kebakaran hutan tanah gambut di Beris Lalang, Bachok.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata JAS turut membina 13 empangan mini berharga RM12,000 sebuah sebagai sumber bekalan air alternatif bagi memudahkan operasi memadam kebakaran oleh anggota bomba.
"Jabatan Alam Sekitar dan pihak bomba juga sentiasa bekerjasama dengan mengadakan sesi ceramah kepada penduduk sekitar mengenai bahaya kebakaran tanah gambut.
"Kita juga meletakkan beberapa papan tanda mengenai larangan pembakaran terbuka serta denda dikenakan di kawasan tersebut," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Azziz Kadir (PAS-Jelawat) yang ingin tahu langkah-langkah diambil bagi mengawal dan menangani masalah kebakaran hutan tanah gambut di Mukim Beris Lalang, yang berlaku setiap tahun.
Abdul Fattah (PAS-Bukit Panau) berkata denda sebanyak 89,000 telah dikeluarkan menerusi 111 kompaun, namun hanya 89 kompaun dibayar.
Menjawab soalan Datuk Ramzi Ab Rahman (BN-Kuala Krai) bagi pihak Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) berhubung langkah diambil kerajaan negeri dalam membantu masyarakat bumiputera di bandar Kota Bharu memiliki rumah sendiri, Abdul Fattah berkata beberapa dasar telah digariskan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata antaranya mewujudkan program Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) dengan pemaju diwajibkan membina 25 peratus rumah mampu milik jika kawasan perumahan yang baharu dibuka melebihi 1.2 hektar.
Abdul Fattah berkata beberapa projek tersebut sedang dijalankan di Wakaf Che Yeh, Badang dan Kok Lanas di sini.
Persidangan DUN Kelantan yang berlangsung dua hari, berakhir hari ini.
Sumber: Bernama | 2 Jun 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan