KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan meminta pemilik premis khususnya pasar raya supaya lebih mengutamakan soal keselamatan pelanggan berbanding kawalan sekuriti kecurian.
Pengarahnya Azmi Osman berkata sekiranya pemilik tidak dapat membezakan soal kawalan sekuriti kecurian dan keselamatan di premis mereka, ia boleh menjadi perangkap maut kepada pelanggan yang datang membeli-belah di situ.
Beliau berkata premis perniagaan sepatutnya sentiasa diselia dengan baik oleh pemilik termasuk pintu kebakaran, loceng amaran, laluan keluar tidak terhalang, tangga tidak diletakkan barangan sehingga menghalang laluan serta beberapa peraturan lain.
"Di musim perayaan seperti ini, orang ramai biasanya berkunjung ke pasar raya dalam jumlah yang ramai untuk membeli-belah.
"Sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan semua peraturan dikenakan tidak dipatuhi, sudah pasti premis terbabit akan menjadi perangkap maut kepada orang ramai," katanya selepas melakukan pemeriksaan keselamatan bangunan di Pasar Raya Nirwana Kubang Kerian, di sini, Khamis.
Azmi berkata mana-mana premis yang dikesan gagal atau tidak mematuhi peraturan akan diserahkan Notis A supaya mereka mengatasi kelemahan di premis masing-masing.
Beliau berkata kegagalan mematuhi notis adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Bomba 1968 dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada tahun lepas, katanya, daripada 56 premis perniagaan yang diperiksa jabatan itu, sebanyak 25 premis diberikan Notis A, dengan dua pemilik premis dihadapkan ke mahkamah kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
"Pemeriksaan ini akan diteruskan sehingga 15 Julai depan dan kita juga akan memeriksa hotel bajet yang beroperasi di sekitar jajahan ini kerana yakin ia juga akan mendapat sambutan menjelang Aidilfitri ini," katanya.
Sumber: Bernama | 9 Jun 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan