KOTA BHARU: Tabung Kasih Perdana Menteri menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, di sini bagi meringankan bebanan pihak pengurusan selepas asrama muslimah hangus dalam kebakaran 17 Jun lepas.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata pondok pengajian agama terbabit adalah penerima pertama daripada tabung yang dilancarkan di Terengganu, 23 Mei lalu.
"Alhamdulillah, pondok ini menjadi yang pertama menerima sumbangan Tabung Kasih Perdana Menteri kerana ia adalah khusus untuk pondok yang ditimpa musibah sama ada kebakaran, roboh dan sebagainya.
"Apa yang kita lihat tabung yang ditubuhkan ini dapat digerakkan dan bermanfaat bagi menyalurkan bantuan kepada pondok bermasalah," katanya kepada pemberita selepas melawat pondok berkenaan hari ini.
Mashitah berkata pihaknya akan berbincang dengan pengetua pondok tersebut untuk keperluan lain yang boleh dibantu sebab pondok berkenaan turut mempunyai pelajar dari negeri lain.
"Dalam ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) semasa pelancaran tabung itu, beliau memberitahu memperuntukkan RM500,000 dan akan menambahnya sekiranya ada keperluan," katanya.
Katanya pihak yayasan akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menganjurkan satu seminar kesedaran berkaitan keselamatan pondok khususnya kebakaran.
"Jika kita perhatikan, tahun ini sahaja sebanyak enam buah sekolah pondok musnah dalam kebakaran dan banyak lagi terdedah kepadanya (kebakaran)," katanya.
Mashitah berkata ada kes apabila bomba tiba di lokasi kebakaran tidak terdapat pili bomba dan berharap pihak pengurusan pondok memastikan pendawaian elektrik adalah selamat.
Selain itu, pihaknya mencadangkan penubuhan skuad bomba di pondok supaya dapat memberi penerangan apa yang sepatutnya dilakukan pelajar untuk menyelamatkan keadaan sekiranya berlaku kebakaran.
Sumber: Bernama | 22 Jun 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan