Najib diiringi Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh (dua dari kanan) melihat pelan hospital baharu Kuala Krai di Mukim Kuala Pahi, sempena lawatan kerja ke Kelantan, hari ini. |
KUALA KRAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan lawatan ke tapak Hospital Kuala Krai yang baharu bernilai keseluruhan RM286 juta di Mukim Kuala Pahi, di sini, sebentar tadi.
Beliau juga mendengar taklimat berkaitan projek itu yang disampaikan oleh Wakil Pengarah Projek Utama Jabatan Kerja Raya (JKR), Alias Adam.
Yang turut mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Selain itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher dan Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mohd Jusoh.
Projek itu yang sudah siap 55 peratus dijangka siap sepenuhnya pada 19 Mei 2017. Hospital baharu berkeluasan 100 hektar itu terletak di lot 7777, Mukim Kuala Pahi dan hanya lima kilometer dari hospital sedia ada.
Pembinaan hospital itu adalah satu projek dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan belanjawan 2012.
Fasa 1 bagi penyediaan tapak yang bermula pada 15 julai 2012 - 1 Mac 2014 membabitkan kos RM10 juta.
Hospital Kuala Krai itu yang mula dibina pada 20 Mei 2014 akan berkonsepkan hospital dalam taman.
Ia bakal dilengkapi dengan peralatan perubatan, perkhidmatan sokongan klinikal yang terkini, selain bangunan pentadbiran, tempat letak kereta dan kemudahan untuk kakitangan, orang kelainan upaya serta pelawat.
Sumber: Berita Harian | 19 Jun 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan