Ab. Ghani Harun (tengah) bersama anggota penguat kuasa memeriksa tong gas yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Sering, Kota Jembal, Kota Bharu, Kelantan, semalam. |
KOTA BHARU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri merampas 720 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM84,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Kampung Sering, Kota Jembal di sini hari ini.
Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu dilakukan selepas pihaknya mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen yang sah dan telah beroperasi sejak empat bulan lalu.
“Kita bertindak selepas mendapat maklumat dan hasil intipan sebelum ini. Kita dapati premis menyimpan pelbagai jenis tong gas itu tidak mempunyai lesen.
“Tempat penyimpanan tong gas itu juga dipercayai menjadi pusat aktiviti jualan barangan berkenaan. Kesemua tong gas yang dirampas itu akan dibawa balik ke PPDNKK untuk tindakan susulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Ab. Ghani, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat tidak dilesenkan.
“Kita juga akan menjalankan siasatan terhadap peniaga terbabit sebelum kes tersebut dibawa ke mahkamah,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjadi ‘mata dan telinga’ PPDNKK dalam usaha membanteras kegiatan tersebut.
“Rampasan tersebut juga adalah hasil daripada usaha kita dalam menangani isu penyelewengan atau apa-apa kesalahan berkaitan LPG ini.
“Kita akan terus mempertingkatkan kawalan dan pemantauan dalam menangani isu ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ab. Ghani berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis pakaian bernilai RM92,000 di sebuah gedung di Tanah Merah minggu lalu.
Katanya, rampasan tersebut dilakukan selepas pihaknya mendapati premis terbabit memanipulasi harga pakaian yang dijual sehingga mengelirukan pengguna.
“Kita dapati premis tersebut telah meletakkan tanda potongan harga terhadap pakaian yang dijual namun nilai potongan itu sebenarnya sama dengan harga asal,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | 16 Jun 2016 | Terbitan 17 Jun 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan