Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 21 Jun 2016

Rakyat dapat air bersih: Kelantan setuju struktur semula bekalan air


Ching Thoo Kim
KOTA BHARU: Harapan rakyat Kelantan untuk menikmati bekalan air bersih yang berkualiti semakin hampir menjadi ken­yataan apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pas Kelantan bersetuju untuk menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri itu dalam tempoh terdekat.

Setiausaha Kanan Bahagian Sektor Perkhidmatan Air dan Pembentungan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dr. Ching Thoo Kim berkata, Kerajaan Pusat dan negeri kini mencari tarikh sesuai untuk menandatangani perjanjian yang bakal memberikan manfaat besar kepada 1.7 juta penduduk Kelantan itu.

‘‘Segala perbincangan dan rundingan antara Kerajaan Pusat dan negeri selama ini cukup positif dalam usaha menyelesaikan masalah air di negeri ini.

‘‘Selepas perjanjian dimeterai, kita akan mengambil tanggungjawab melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri ini yang dijangka memerlukan pelaburan berterusan bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti bekalan air di Kelantan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Kelantan di sini hari ini.

Tambah Thoo Kim, penstrukturan semula industri bekalan air ini merupakan inisiatif Kerajaan Pusat bagi memastikan rakyat di Kelantan dapat menikmati bekalan air bersih sepanjang masa tanpa sebarang masalah atau gangguan lagi.

‘‘Langkah yang diambil kerajaan itu juga dilihat bakal menyaksikan rakyat Kelantan tidak lagi berhadapan dengan masalah air keruh yang selama ini cukup merunsingkan penduduk.

‘‘Penstrukturan ini turut akan melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),’’ katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 20 Jun 2016 | Terbitan 21 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan