Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 18 Jun 2016

Projek Jambatan Jelatok - Pulau Raya: Tuduhan mungkir janji tidak benar

Lokasi projek pembinaan jambatan menghubungkan Jelatok dan Pulau Raya, Tanah Merah yang berlaku pertindihan peruntukan hingga pemimpin Umno dituduh mungkir janji.
TANAH MERAH: Penduduk Kampung Jelatok, di sini, didakwa kecewa dengan laporan akhbar yang menggambarkan seolah-olah Umno Bahagian Tanah Merah mungkir janji berhubung pembinaan jambatan menghubungkan kampung itu dan Pulau Raya.

Lebih mengecewakan penduduk, laporan itu dikatakan secara terang menyebut jambatan tersebut dibina kerajaan negeri sedangkan hakikatnya, projek melibatkan kos hampir RM400,000 itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Jelatok, Kuek Chye Hin berkata, laporan akhbar itu tidak benar, malah dilihat berniat jahat untuk memburukkan nama Ketua Umno bahagian, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

“Jambatan menghubungkan Jelatok dan Pulau Raya ini merupakan projek JKR pusat yang menyalurkan peruntukan kepada JKR negeri, manakala kerajaan negeri hanya ‘klien’,” katanya.

Laporan akhbar itu menyebut, ‘biarpun Ikmal Hisham menguar-uarkan mahu membina jambatan di Kampung Jelatok, namun kerajaan negeri pula yang menyiapkannya’, dengan membandingkan perkara sama berlaku melibatkan pembinaan lintasan kereta api bertingkat di Pasir Mas.

Berdasarkan laporan sama, ‘Projek Cadangan Jalan dan Jambatan Konkrit Menghubungkan Kampung Jelatok ke Kampung Pulau Raya, Tanah Merah, Kelantan’ itu mula dibina pada 26 Oktober 2015 dan siap pada 18 Mei lalu. 

Mengulas dakwaan ada pemimpin Umno menyebarkan berita kononnya peruntukan membina jambatan itu diusahakan Ikmal Hisham seperti dilaporkan akhbar itu, Chye Hin berkata, peruntukan dimaksudkan adalah peruntukan khas berjumlah RM600,000 yang diluluskan sebelum itu.

Bahkan, katanya, peruntukan awal sebanyak RM100,000 daripada keseluruhan peruntukan khas itu disalurkan Ikmal Hisham yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah bagi membolehkan projek pembinaan jambatan dimulakan segera.

“Tetapi sebelum peruntukan khas ini dibelanjakan seperti dirancang, JKR luluskan hampir RM400,000 bagi membina sebuah jambatan konkrit antara Jelatok dan Pulau Raya yang dilaksanakan JKR negeri,” katanya.

Sementara itu, Ikmal Hisham menjelaskan, peruntukan khas itu diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas beliau mengemukakan laporan akhbar Sinar Harian mengenai kerosakan jambatan lama yang menyukarkan penduduk.

Namun, katanya, apabila mendapat tahu JKR juga akan melaksanakan projek sama, beliau telah berbincang cara terbaik membelanjakan peruntukan khas itu bersama masyarakat Kampung Jelatok.

“Hasil perjumpaan, peruntukan khas ini diguna untuk membina sebuah dewan tertutup, gelanggang bola keranjang dan taman rekreasi awam di Kampung Jelatok. 

"Saya juga luluskan permintaan penduduk untuk naik taraf jalan kampung, baik pulih bilik gerakan dan kemudahan asas tokong,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 18 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan