Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 9 Jun 2016

18,000 pil kuda bernilai RM450,000 dirampas di Pasir Mas

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Ab Rashid Ab Wahab (dua, kanan) bersama pegawainya menunjukkan sejumlah 18,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM450,000 yang dirampas daripada seorang pemuda berusia 22 tahun di Kampung Lemal, Pasir Mas awal pagi semalam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
KOTA BHARU: Polis menahan seorang pemuda berusia 22 tahun dan merampas 18,000 pil kuda dianggar bernilai RM450,000 dalam Ops Tapis Khas bersepadu di Kampung Lemal, Pasir Mas, semalam.

Tangkapan dan rampasan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, lelaki itu ditahan ketika cuba melarikan diri dengan sebuah kereta selepas menyedari kehadiran sepasukan anggota polis.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui pil kuda berkenaan dan suspek dipercayai telah enam bulan menjalankan pengedaran dadah itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Ab Rashid berkata siasatan mendapati lelaki itu disyaki daripada sindiket yang membekalkan dadah kepada penagih di sekitar Pasir Mas, dan polis akan mengesan lagi anggota kumpulannya.

Lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam hingga Isnin ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Sumber: Bernama | 8 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan