Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 3 Jun 2016

Mangsa banjir dapat Rumah Kekal Baharu


Tengku Razaleigh Hamzah menyampaikan replika kunci Rumah Kekal Baharu (RKB) kepada Samsul Baharin Abu Bakar (dua dari kiri) di Kampung Batu Papan 2, Gua Musang, Kelantan, kelmarin.
GUA MUSANG: Sebanyak 40 keluarga mang­sa banjir gembira selepas penderitaan hampir setahun setengah ber­akhir apabila mendapat Rumah Kekal Baharu (RKB) di Kampung Batu Papan 2, di sini semalam.

Majlis penyerahan kunci RKB tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh berkata, sebanyak 40 buah rumah yang setiap unit berharga RM48,000 itu bakal diduduki oleh kesemua mangsa banjir yang terlibat sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

“Kita gembira apabila dapat menyiapkan rumah mangsa banjir dengan kos keseluruhan sebanyak RM6 juta yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mangsa banjir harus ber­syukur dengan usaha yang dibuat oleh Kerajaan Pusat walaupun proses pembinaan rumah terlewat seperti yang dirancang disebabkan oleh beberapa halang­an.

“Kita berharap mereka dapat membina kehidupan baharu di rumah ini dan memberi ke­gembiraan sempena kedata­ngan bulan Ramadan dan Hari Raya tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kunci Kekal Banjir Mukim Batu Papan, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan dan Persekutuan negeri, Datuk Makhtar Mustapha, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Ab. Aziz Yusoff, dan Ketua Polis Daerah, Rejab Ahad Ismail.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Samsul Baharin Abu Bakar, 42, yang sebelum ini tinggal di bangsal sementara ber­syukur mendapat kediaman baharu.

Katanya, selepas rumahnya di Kampung Kerinting musnah dihanyutkan banjir, dia bersama tiga ahli keluarganya menghuni bangsal di sebuah kebun dekat Kampung Kundur.

“Kami gembira dan bersyu­kur apabila mendapat tempat tinggal baharu. Sudah lama kami nak kediaman selesa.

“Terima kasih kepada pihak Kerajaan Pusat yang begitu prihatin membantu mangsa banjir yang tidak berkemampuan untuk membina kembali rumah yang musnah,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 2 Jun 2016 | Terbitan 3 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan